KUALA TERENGGANU – Musim cuti sekolah bermula hujung minggu lalu bagaikan hilang serinya apabila jumlah kedatangan pelancong ke negeri ini merosot kira-kira 30 peratus.
Tinjauan mendapati, beberapa lokasi tumpuan pelancong seperti Pasar Besar Kedai Payang dan Dataran Shahbandar yang biasanya sesak teruk pada musim cuti sekolah kelihatan agak lengang semalam.
Tempahan bilik hotel, resort, chalet dan inap desa yang kebiasaannya penuh setiap kali musim cuti sekolah juga berkurangan sehingga 40 peratus berbanding cuti hujung tahun lalu.
Pengusaha inap desa, Salinah Ibrahim berkata, empat rumah penginapan yang diusahanya sunyi tanpa pelancong.
“Biasanya menjelang musim cuti sekolah, saya sudah mula menerima 20 hingga 30 panggilan sehari daripada orang luar yang bertanyakan mengenai pakej harga yang ditawarkan.
“Kali ini situasi agak berbeza, hendak dapat satu panggilan sehari pun susah,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Salinah memberitahu, dia tidak menolak kemungkinan orang ramai mahu berjimat dengan mengurangkan perbelanjaan melancong memandangkan sesi baharu persekolahan dan bulan Ramadan tiba hampir serentak pada bulan depan.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia Chapter Terengganu, Suaibah Harun turut mengakui tempahan bilik hotel dan resort di negeri ini agak dingin pada cuti sekolah kali ini.
Pengurus Besar Hotel Primula itu memberitahu, kebanyakan pengusaha hotel dan resort cuba menampung kekurangan tempahan dengan meningkatkan tempahan penyewaan dewan dan bilik seminar.
“Alhamdulillah kadar tempahan untuk majlis perkahwinan, acara sosial dan seminar perniagaan masih berada pada tahap memuaskan.
“Ia merupakan serampang dua mata dengan harapan tetamu dan peserta program turut bermalam di bilik hotel dan resort yang disediakan,” katanya.
Suaibah berkata, dia percaya situasi tersebut hanya bersifat sementara dan dijangka pulih setelah rangkaian pulau peranginan di Terengganu kembali beroperasi pada 1 Mac ini selepas musim tengkujuh berakhir.
“Saya percaya pada waktu itu, bukan sahaja pelancong domestik, malah orang asing juga kembali mengunjungi negeri Terengganu.
“Kerajaan negeri juga bertindak proaktif dengan menganjurkan karnival dan program mulai hujung minggu ini bagi menarik pelancong dan membantu pemain industri tempatan,” katanya.