WARSAW – Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden membalas ancaman nuklear yang dibuat oleh rakan sejawatnya dari Russia, Vladimir Putin dengan menegaskan bahawa Moscow tidak akan sesekali menang dalam peperangan di Ukraine, lapor akhbar The Sun kelmarin.
“Ukraine tidak akan menjadi tanda kemenangan untuk Russia. Tidak sama sekali,” kata Biden sambil disambut dengan tepukan gemuruh daripada orang ramai di Warsaw, Poland yang pernah berada di bawah pemerintahan Kesatuan Soviet selama 45 tahun.
Turut bersama beliau ialah Presiden Poland, Andrzej Duda selepas Biden mengadakan lawatan bersejarahnya ke Kiev sebelum itu.
Biden, 80, menggunakan ucaptamanya di Poland untuk menyindir Putin dengan menyatakan bahawa Kiev berdiri kuat, bangga dan bebas, setahun selepas Russia menceroboh Ukraine.
Pemimpin itu turut memuji Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) yang dikatakan telah menjadi lebih kuat berbanding sebelumnya dan meyakinkan sekutu-sekutunya mengenai komitmen Washington yang berterusan terhadap Eropah.
Ujar Biden, Putin percaya bahawa NATO akan ‘retak’ dan berpecah tetapi sebenarnya, pakatan ketenteraan tersebut lebih bersatu berbanding sebelum ini.
“Beliau (Putin) menyangkakan autokrat seperti dirinya adalah ‘keras’ dan pemimpin demokrasi adalah ‘lembut’.
“Setahun dalam peperangan ini, tidak ada keraguan bahawa sokongan kami tidak akan goyah. Kami tidak akan berpecah dan kami tidak akan jemu. Demokrasi di dunia akan menjaga kebebasan hari ini, esok dan selama-lamanya,” ujar Biden.
Pemimpin tersebut dalam masa sama turut menyelar Russia sebagai ‘menjijikkan’ kerana melakukan kekejaman di Ukraine dan ‘merampas’ masa depan kanak-kanak.
“Seorang diktator yang berhasrat membina semula empayar tidak akan dapat meredakan kecintaan rakyat terhadap kebebasan,” katanya.
Ucapannya itu dibuat beberapa jam selepas Putin berucap selama dua jam di Moscow di mana beliau mengeluarkan ancaman nuklear dan meluahkan kemarahan terhadap Barat berhubung perang Ukraine.
Dalam pada itu, Duda berkata, Ukraine masih belum jatuh ke tangan Russia disebabkan oleh semangat kepahlawanan askarnya dan sokongan yang diterima dari Barat.
“Tiada tempat untuk urusan seperti biasa dengan Russia,” katanya.
Duda dan Putin masing-masing membuat ucapan yang dianggap simbolik berikutan ulang tahun pertama perang Ukraine yang bakal jatuh pada esok (Jumaat).
Putin kini menghadapi tekanan politik dalaman sebelum ulang tahun pertama bagi memperingati pencerobohan tersebut.
Menurut laporan, sekiranya Putin masih gagal dalam perang tersebut, rejimnya berkemungkinan tumbang dan ia boleh membawa kesan buruk kepada Russia. – Agensi