PETALING JAYA – Delux Holdings (M) Sdn. Bhd. (Delux) menawarkan Program Sewa Pintu Pagar Automatik Tanpa Trek dan Pintu Sekuriti yang pertama di Malaysia dalam usaha mengurangkan beban kewangan para pelanggannya.
Pengasas syarikat, Datuk Dylan Chui Saig Herg berkata, program julung-julung kali diadakan ini menawarkan peluang kepada pelanggan untuk menyewa produk kemudian bakal menjadi hak sepenuhnya setelah penyelesaian pembayaran mengikut tempoh perjanjian.
“Pelanggan boleh membuat bayaran melalui kaedah auto-debit secara bulanan.
“Mereka tidak perlu lagi terikat dengan komitmen kad kredit serta berbelanja lebih kemampuan untuk pengubahsuaian rumah dan pembelian perabot” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini semalam.
Saig Herg menerangkan, program ini memberi kelonggaran kepada pelanggan untuk memilih tempoh sewa selama 12 bulan, 24 bulan atau 36 bulan.
“Terdapat lebih daripada 1,250 jenis reka bentuk pintu pagar dan pintu sekuriti. Setiap orang mampu memilikinya pada harga serendah RM167 sebulan untuk pintu sekuriti, manakala RM410 sebulan untuk pintu pagar automatik tanpa trek.
“Kami menawarkan produk berkualiti dan terjamin untuk rumah idaman,” jelas beliau.