fbpx

Istana Budaya raih RM6.1 juta sepanjang 2022

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KEMPEN Gerak akan menjelajah ke seluruh pelosok negara bagi menyemarakkan cinta masyarakat terhadap kesenian negara. Foto - FAIZ ALIF AHMAD ZUBIR

PUTRAJAYA – Istana Budaya mencatat perolehan memberangsangkan sepanjang tahun lalu apabila meraih sebanyak RM6.144 juta menerusi penganjuran 15 buah program dan 39 pementasan.

Ketua Pengarahnya, Zubaidah Mukhtar berkata, selain menunjukkan kehadiran penonton yang menggalakkan dengan jualan 29,405 tiket, tahun lalu turut mencatatkan nilai publisiti mencecah RM52 juta.

“Impak pandemik yang masih dirasai ketika itu tidak membataskan kreativiti serta aktiviti kebudayaan dan kesenian di gelanggang berprestij ini apabila meraih RM6.144 juta menerusi pelbagai pementasan.

“Malah kehadiran penonton juga amat menggalakkan dengan jumlah melebihi 29,000 orang untuk tahun lalu.

“Pihak media juga memberikan maklum balas jitu menerusi nilai publisiti yang ditunjukkan dalam media cetak dan elektronik menerusi nilai mencecah RM52 juta.

“Sokongan pelbagai pihak dan pemain industri secara tidak langsung membuktikan keyakinan ramai terhadap perkembangan seni budaya tanah air,” katanya kepada Kosmo! Online.

ZUBAIDAH dan Mohd. Yusri pada majlis pelancaran Kempen Gerak di Putrajaya baru-baru ini.

Beliau berkata demikian selepas pelancaran Kempen Gerak yang turut dihadiri Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Mohd. Yusri Mohd.Yusoff.

Pada majlis berkenaan, Mohd. Yusri menyerahkan sijil penghargaan kepada wakil media atas sokongan berterusan yang diberikan.

Sementara itu, Zubaidah menyatakan pihaknya juga dapat mengutip sebanyak RM200,000 hutang tertunggak daripada jumlah RM2 juta.

“Angka ini membabitkan kutipan untuk bayaran yang belum dilunaskan syarikat produksi bagi tempoh lima tahun.

“Kita akan sentiasa memberikan peringatan kepada pihak berkaitan mengenai bayaran yang perlu dilangsaikan dari semasa ke semasa,” katanya lagi.

Bagi memastikan kelancaran operasi, ulas Zubaidah semua pihak yang ingin mengadakan pementasan di premis tersebut perlu mengikuti syarat menyelesaikan pembayaran sebelum memulakan pementasan.

“Tahun ini sudah ada 10 persembahan yang mengisi kalendar bagi musim 2023 iaitu hingga Mei depan sebelum Istana Budaya ditutup selama 36 bulan bagi kerja penyelenggaraan bumbung.

“Empat daripadanya membabitkan syarikat luar termasuk beberapa produksi antarabangsa dan kesemuanya sudah membuat bayaran penuh.

“Syarat ini diperkenalkan pada tahun ini bagi memastikan tiada lagi isu bayaran tertunggak atau masalah hutang lapuk,” ulasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI