LIVERPOOL – Pengendali Liverpool, Jurgen Klopp menyatakan perjuangan pasukannya di Liga Juara-Juara semakin hampir ke titik noktah selepas tewas 2-5 kepada juara bertahan, Real Madrid di Anfield awal pagi semalam.
Walaupun bermula cemerlang apabila mendahului dua gol menerusi Darwin Nunez dan Mohamed Salah dalam tempoh 15 minit pertama, keputusan 90 minit nyata sukar diterima kerana ia adalah kekalahan paling buruk di gelanggang sendiri pernah dicatatkan dalam saingan Eropah.
“Saya fikir Carlo Ancelotti fikir perlawanan ini sudah berakhir dan buat masa sekarang, saya juga merasakan perkara sama. Keputusannya 5-2 dan apabila kamu menyaksikan perlawanan ini, Real Madrid cukup bagus ketika serangan balas.
“Kami perlu jaringkan tiga gol dan ia pastinya perlu ambil risiko serta merumitkan. Apa yang boleh saya katakan buat masa sekarang adalah pergi ke sana (Madrid) dan cuba memenangi perlawanan.
“Sama ada boleh atau tidak, saya tidak tahu. Tetapi, itulah yang kami akan cuba lakukan,” katanya.
Vinicius Junior mencetus kebangkitan Real dengan menyumbangkan dua gol awal diikuti satu jaringan daripada Eder Militao sebelum
Karim Benzema melengkapkan kejayaan kelab Sepanyol itu apabila meledak dua lagi gol.
“Saya berterus terang kepada pemain, keputusan ini adalah berlawanan dengan apa yang kami mahukan. Kami melakukan kesilapan di kawasan sendiri dan kami akan kalah lagi jika tidak belajar daripada semua ini,” jelas Klopp. – AGENSI