LONDON – Pasukan Alpine percaya sudah menyelesaikan kelemahan pada jentera musim lalu dengan memberi jaminan bakal tampil lebih kompetitif menjelang saingan Formula Satu (F1) yang akan membuka tirai rasmi pada bulan depan.
Sebagai rekod, pelumba utama Alpine, Fernando Alonso gagal menamatkan perlumbaan (DNF) sebanyak tujuh kali sepanjang musim lepas disebabkan masalah enjin dan kegagalan jentera untuk memberi saingan yang diharapkan.
Ketua bahagian enjin pasukan, Bruno Famin mengakui masalah teknikal sebelum ini yang melibatkan pam air jentera sudah pun diselesaikan sepanjang fasa pramusim ketika ini.
Berita tersebut pasti memberikan kegembiraan buat dua pelumba pasukan, Esteban Ocon dan Pierre Gasly yang menggantikan tempat Alonso yang berhijrah ke pasukan Aston Martin musim ini.
“Jentera kami yang diberi nama A523 pada tahun ini pasti lebih kompetitif kerana masalah yang dialami sepanjang tahun lalu telah dikenal pasti kerana ia melibatkan pam air.
“Justeru, pegawai teknikal telah melakukan rombakan pada enjin dengan menukar kedudukan pam air selain melakukan sedikit modifikasi sekali gus memastikan apa yang terjadi tahun lalu tidak akan berulang lagi pada musim baharu nanti.
“Secara jujur, masalah tersebut sudah diketahui sejak tahun lalu, tetapi agak mustahil untuk kita membuat perubahan pada pertengahan musim. Kami hanya mampu menunggu selepas saingan berakhir dengan perubahan dilakukan pada jentera baharu musim ini,” katanya. – AGENSI