PETALING JAYA – Genap seminggu mengalami kecederaan lutut ketika menjalani penggambaran filem aksi The Original Gangster, Hairul Azreen kini sudah mampu berjalan semula.
Pelakon itu bersyukur apabila proses pemulihan selepas menjalani pembedahan Anterior Cruciate Ligament (ACL) lutut kirinya menunjukkan perkembangan positif.
“Hari pertama fisioterapi,” tulis aktor yang sinonim dengan filem aksi lasak itu menerusi Instagram.
Dalam hantaran tersebut, Hairul, 35, berkongsi momen dirinya sedang menjalani sesi fisioterapi yang turut ditemani rakan yang juga aktor, Syazwan Zulkifli.
Malah tanda pagar ‘The best never rest’ yang disertakan dalam hantaran berkenaan menunjukkan dia bukan jenis mudah mengalah.
Menerusi ruangan komen, ramai pengikut meluahkan rasa kagum melihat semangat juang pelakon itu untuk cepat pulih.
Mereka yang pernah melalui situasi sama juga berkongsi pengalaman selain menyatakan terpaksa mengambil masa hingga setahun untuk sembuh sepenuhnya.
“Dulu selepas pembedahan ACL, hari pertama doktor paksa jalan macam biasa. Mental kita yang perlu diperbetulkan,” kata seorang pengguna Instagram.
“Kira cepat juga ACL dah boleh berjalan sikit-sikit. Kalau badan berat enam bulan juga nak sembuh. Salah satunya semangat Hairul Azreen yang kuat,” ujar seorang pengikutnya.
“Manusia atau robot? Kebal betul. Apa pun semoga segera sembuh,” tulis peminat lain.
Minggu lalu, suami kepada pelakon dan hos Hanis Zalikha itu mendedahkan terpaksa berehat daripada meneruskan penggambaran filem arahan Syamsul Yusof tersebut selepas terbabit dalam kemalangan di set lokasi.
Filem yang menjalani penggambaran sejak dua bulan lalu itu merupakan terbitan Syamsul Yusof Films bersama Razor’s Edge Pictures.
Selain Hairul, The Original Gangster turut membariskan Datuk Rosyam Nor, Beto Kusyairy, Sharnaaz Ahmad, Shaheizy Sam, Soffi Jikan dan aktor Indonesia, Yayan Ruhian. – KOSMO! ONLINE