fbpx

Pulau Tioman pulau pertama ada liputan 4G sepenuhnya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pulau Tioman. - GAMBAR HIASAN

PUTRAJAYA – Penduduk Pulau Tioman bakal menikmati kemudahan internet pada tahap maksimum apabila menjadi pulau pertama mempunyai liputan 4G untuk semua Penyedia Perkhidmatan Mudah Alih utama pada akhir suku pertama tahun 2023.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, penawaran kemudahan itu selepas sembilan menara komunikasi perkhidmatan mudah alih dinaik taraf melalui perkongsian rangkaian di mana Celcom, Digi, Maxis dan U Mobile telah tersedia di semua kampung kecuali Kampung Sarang Burung yang akan siap pada Mac 2023.

“Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah melaporkan perkembangan terkini mengenai Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela) merangkumi pelaksanaan rangkaian gentian optik dasar laut Pulau Tioman.

“Ia dilaporkan kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam satu sesi taklimat di Pulau Tioman pada 19 Februari 2023,” katanya dalam satu kenyataan.

Jelasnya, sesi taklimat tersebut telah disampaikan Ketua Pegawai Operasi MCMC, Datuk Mohd. Ali Hanafiah Mohd Yunus.

“Pelaksanaan rangkaian gentian optik dasar laut ke Pulau Tioman di bawah inisiatif Program Pemberian Perkhidmatan Sejagat (PPS) seliaan MCMC menjadi pencetus kepada usaha penyediaan rangkaian gentian optik di seluruh kampung di Pulau Tioman.

“Projek berkenaan membangunkan rangkaian gentian optik dari Kuala Rompin ke Kampung Tekek sejauh 75.2 kilometer (km) telah siap sepenuhnya pada bulan September 2018 dengan kos pemasangan bernilai RM37.1 juta.

“Dengan adanya rangkaian gentian optik dasar laut itu membolehkan semua kampung di Pulau Tioman menikmati kemudahan Internet jalur lebar berkelajuan tinggi,” jelasnya.

Pada masa sama, Fahmi berkata, beliau turut dimaklumkan bahawa projek gentian optik Kampung Mukut sejauh 8.5km yang menghubungkan rangkaian gentian optik dari Japamala ke Kampung Mukut melalui Kampung Nipah dan Kampung Sarang Burung dengan kos pelaburan sebanyak RM2.2 juta telah dilaksanakan Telekom Malaysia (TM).

“Projek terbabit yang bermula pada bulan September 2022 telah siap pada bulan Disember 2022 dan kini menjadi pelengkap kepada semua kampung di Pulau Tioman tersedia dengan rangkaian gentian optik.

“Dengan kesedaran serta permintaan semakin meningkat, kadar penggunaan gentian optik pada masa ini di tahap 61 peratus penduduk dengan anggaran 466 premis di Pulau Tioman.

“Dalam era globalisasi yang mana internet menjadi salah satu daripada kemudahan asas utama, projek di Kampung Mukut ialah sangat penting kerana menjadi pelengkap kepada usaha merangkaikan semua kampung di Pulau Tioman dengan rangkaian gentian optik,” ujarnya.

Tambahnya, usaha itu bukan sahaja merapatkan jurang digital dalam kalangan masyarakat, malah mampu merancakkan ekonomi digital komuniti dan industri pelancongan Pulau Tioman.

“Harapan saya dengan semua kemudahan infrastruktur tersedia ini, penduduk digalakkan untuk mendapatkan pakej langganan perkhidmatan bersesuaian dengan keperluan masing-masing bagi menikmati internet berkualiti dan berkelajuan tinggi,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI