SEPANG – Muslim Care Malaysia (MCM) meneruskan misi kemanusian membantu mangsa gempa bumi di Turkiye dan Syria apabila menghantar kumpulan kedua sukarelawan ke negara terbabit malam tadi.
Ketua Misi MCM, Ahmad Safuan Ujar berkata, kumpulan seramai sembilan orang itu berlepas menerusi Terminal Satu Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 11.40 malam tadi.
“Berbeza dengan kumpulan pertama, sasaran utama penerima bantuan bagi misi kedua ini ialah mangsa gempa yang berada di wilayah utara Syria.
“Lokasi yang akan cuba kami masuki ialah Idlib di mana terletaknya dua sekolah milik MCM yang sudah beroperasi selama sembilan tahun sejak dibuka pada 2014,” katanya di sini tadi.
Menurutnya, selain sumbangan makanan, selimut dan pakaian kepada mangsa, pihaknya turut mensasarkan bantuan berimpak besar yang mungkin membabitkan tempoh lebih lama.
“Mungkin kami akan membina atau membaiki rumah golongan asnaf terutama ibu tunggal dan juga sekolah yang musnah kerana itulah keperluan mereka yang paling mendesak pada masa ini.
“MCM juga tidak bersendirian untuk misi kali kedua ini ekoran turut mendapat bekerjasama dengan tiga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta sebuah agensi kerajaan,” jelasnya.
Organisasi terbabit ialah Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Yayasan Integrasi Al- Huffaz, Yayasan Amal ASAS (Alumni Sekolah Alam Shah) dan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).
Kumpulan pertama misi bantuan MCM ke Turkiye membabitkan lima orang termasuk dua wartawan telah pulang pada 14 Februari lalu selepas berada di negara itu selama enam hari.
Sementara itu, Presiden MCM, Zulkifli Wahijan turut mengucapkan terima kasih kepada orang ramai yang menyalurkan sumbangan bagi membantu mangsa gempa bumi di Turkiye dan Syria.
“Kami menetapkan sasaran keseluruhan kutipan sebanyak RM1 juta dan setakat ini jumlah yang dikutip sudah mencapai RM700,00,”katanya. – KOSMO! ONLINE