PETALING JAYA – Pihak Awesome TV menafikan penglibatannya dan tidak mempunyai kaitan dengan pihak Astro atau mana-mana parti politik.
Awesome TV dalam satu kenyataan media berkata, kenyataan dibuat oleh Datuk Lokman Adam mengaitkan pihaknya dengan Astro dan Tun Dr. Mahathir adalah palsu dan suatu provokasi.
“Ini tidak benar sama sekali. Awesome TV tidak ada apa-apa kaitan dengan Astro atau mana-mana parti politik.
“Kita menolak sekeras kerasnya kenyataan Lokman Adam yang cuba mengaitkan berita ini dengan isu sentimen perkauman. Ini adalah suatu provokasi,” katanya hari ini.
Mengulas berkaitan berita yang disiarkan pada 15 Februari lalu, Awesome TV menjelaskan bahawa ia merupakan laporan susulan yang diketengahkan oleh portal The Edge Markets yang bertajuk ‘Reducing Government Opex Warrants a Look Into Emoluments’.
Bagaimanapun, katanya, laporan Berita 757 telah dimanipulasikan dan mendapat reaksi Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil yang mengeluarkan kenyataan bahawa berita terbabit adalah laporan palsu dan fitnah.
“Pihak Berita 757 dari Awesome TV telah berjumpa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) untuk memberi penjelasan mengenai isu yang kami percaya telah disalah tafsir.
“Keadaan menjadi rumit apabila menteri terpengaruh dengan beberapa pengamal media sosial yang tidak bertanggung jawab memanipulasikan berita tersebut,” ujarnya.
Sehubungan itu, katanya, Awesome TV mempertahankan laporan yang dibuat pada 15 Februari lalu yang tidak ada kepentingan selain daripada memainkan peranan berita yang telus dan tulus demi kepentingan negara. – KOSMO! ONLINE