MENGAMBIL kira keputusan yang dicatatkan dalam aksi persabahatan pramusim, Penang FC boleh dianggap lulus dan sedang melengkapkan persediaan untuk cuba tampil sebagai salah satu pasukan pencabar musim ini.
Dua kemenangan ketika menjuarai pertandingan Piala Harapan sebelum ini sudah memadai untuk menghadirkan keterujaan dan meletakkan harapan besar kepada peminatnya.
Namun pengendalinya, Manzoor Azwira Abdul Wahid tidak mahu terlalu meletakkan tekanan besar buat anak buahnya dan kekal bersikap rasional untuk berdepan cabaran lebih getir musim ini.
“Saya tidak mahu letak sasaran terlalu tinggi dan sukar untuk dicapai kerana pasukan lain juga begitu serius menambah kualiti pemain. Apa saya boleh katakan, Penang dalam fasa pembentukan semula pasukan dan harap musim 2023 pasukan ini ada kualiti yang lebih baik dari musim 2022,” katanya.
Bagaimanapun, Manzoor yang kini sedang menjalani Kursus Kejurulatihan Diploma Profesional AFC/FAM 2022/2023 di Eropah akan terus berhubung dengan pembantunya dan mengharapkan aksi lebih konsisten daripada pemain.
Kredibiliti pemain pastinya bakal teruji untuk mendapatkan ‘tapak permulaan’ baik pada perlawanan sulung menentang Kuala Lumpur City di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Sabtu ini.
Andai kata perkiraan kasar dibuat, prestasi semasa yang dijelmakan penyerang dari Lubnan, Soony Saad sudah cukup untuk mengukir senyuman dalam kalangan penyokong setia Penang.
Berdasarkan rekrut yang dibuat pada musim ini, Harimau Kumbang jelas miliki taring lebih tajam terutamanya dengan kehadiran dua import berkualiti seperti bekas penyerang Melaka United, Adriano Narcizo dan Giovane Gomes serta bekas bintang UiTM, Ousmane Fane.