fbpx

Olahraga Malaysia tertinggal jauh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhammad Azeem memperoleh pingat emas dalam acara 100 Meter Lelaki pada Sukan Malaysia XX Majlis Sukan Negara 2022 di MSN Bukit Jalil pada 16 September 2022.
MUHAMMAD RIDUAN MOHD. HANAFIAH
WARTAWAN EKSEKUTIF

JURULATIH sukan olahraga hari ini seharusnya dilengkapkan dengan kemahiran dan ­pengetahuan terkini seiring zaman.

Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) pada saat ini ingin melahirkan lebih ramai pelari terbaik seperti Muhammad Azeem Mohd. Fahmi selepas jaguh pecut berusia 18 tahun itu semakin mencipta nama sejurus berjaya memecahkan rekod kebangsaan selama 24 tahun milik Watson Nyambek 6.63 saat (s) dalam acara 60 meter (m).

Watson antara individu yang berbangga dengan prestasi Azeem apabila terus menyinar di Amerika Syarikat (AS) terutama sudah memecahkan rekod kebangsaan 60m dalam dewan sebanyak dua kali, dengan catatan terbaharu 6.62s pada Kejohanan Jemputan Tiger Paw di University Clemson di Carolina Selatan, baru-baru ini.

Watson mengakui teruja ­dengan prestasi memukau pelari muda itu kerana akhirnya selepas 24 tahun muncul seorang pelari berbakat memecahkan rekodnya.

Yang menjadi persoalan, kenapa perlu tunggu sehingga tempoh 24 tahun baru ada seorang pelari negara mampu menandingi pencapaian tersebut.

Justeru, Watson yang terkenal dengan gelaran ‘The Flying Da­yak’ menjelaskan sukan olahraga Malaysia sebenarnya banyak ke­tinggalan.

Bagaimanapun, Watson percaya Malaysia mempunyai ramai pelari berbakat tetapi beberapa perubahan perlu dibuat terutama melahirkan lebih ramai jurulatih yang dilengkapi dengan ilmu terkini sekali gus tidak mustahil lebih ramai individu seperti Azeem dapat dilahirkan.

“Apabila rekod dipecahkan selepas 24 tahun bermakna sukan olahraga kita ini banyak ketinggalan. Bila Azeem dapat pecah rekod saya, di situ kita lihat sukan ini ada sedikit peningkatan.

“Tetapi untuk melahirkan seorang lagi Azeem, pihak berwajib perlu melengkapkan jurulatih-jurulatih di negara ini dengan ilmu agar lebih ramai pelapis yang sehebat Azeem mampu dilahirkan.

“Bagi saya, lengkapkan jurulatih di Malaysia ini dengan ilmu pengetahuan yang baik terutama pendedahan sains sukan. Hantar mereka jalani kursus dan ini adalah langkah terbaik supaya sukan olahraga di negara ini berkualiti dan tidak bergantung harap kepada tenaga luar.

“Jika ramai jurulatih dapat dilahirkan saya percaya kita tidak perlu menunggu terlalu lama untuk melihat rekod-rekod kebangsaan dipecahkan. Lebih ramai bakat-bakat baharu
yang berkualiti muncul selepas ini,” katanya.

Dalam pada itu, Watson percaya ‘letusan’ fenomena yang dicetuskan Azeem mampu menjadi pembakar semangat kepada atlet pelapis negara untuk tampil hebat terutama mengatasi rekod tersebut.

“Saya berbangga dengan ­prestasi Azeem terutama pada usia 18 tahun ini dan saya percaya dia mampu pergi lebih jauh. Saya lebih gembira kerana kejayaan yang Azeem cipta ketika ini me­lonjakkan semangat pelari-pelari lain untuk menjadi sepertinya.

“Ini yang saya mahukan, ini zaman pelari muda kita untuk terus cemerlang bukan sahaja di peringat Asia Tenggara mahupun Asia tetapi di pentas dunia. Saya mahu Azeem kekal berkelana di Eropah terutama di bumi Amerika Syarikat agar dia mendapat pengalaman bersaing dengan pelari profesional lain.

“Mana tahu, selepas ini ada lagi lebih ramai atlet olahraga di negara ini mengikuti jejak langkah Azeem melanjutkan pelajaran di universiti luar negara dan menjalani latihan yang cukup baik di sana,” katanya.

Azeem kini melanjutkan pengajian dan mengembangkan kerjaya olahraganya di Amerika Syarikat (AS) dengan menjadikan Universiti Auburn sebagai pusat latihannya.

Azeem mempunyai misi besar di AS apabila meletakkan sasaran untuk melayakkan diri ke Kejohanan Dunia 2023 di Budapest, Hungary dan Sukan Olimpik Pa­ris 2024.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI