fbpx

10 buah rumah penduduk dilanda banjir kilat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Seorang penduduk menunjukkan tanah perkuburan digenangi air berikutan fenomena di Kampung Sungai Chengkeh. Serkat, Pontian, hari ini.

PONTIAN – Sebanyak 10 buah rumah di Kampung Sungai Chengkeh, Serkat di sini dilanda banjir kilat berikutan fenomena air pasang besar yang berlaku pada tengah hari tadi, namun tiada pemindahan mangsa dilakukan.

Ketua Kampung Kawasan (1) Mukim Serkat, Ab. Samir Mahadi berkata, fenomena air pasang tersebut datang dari dua sungai berhampiran iaitu Sungai Chengkeh dan Sungai Dinar.

Katanya, kejadian tersebut berlaku selama dua atau tiga jam menyebabkan laluan ke Kawasan Perindustrian Tanjung Bin juga digenangi air menyebabkan banyak kenderaan terkandas.

“Fenomena tersebut dijangka lebih besar pada hari esok dan meminta penduduk yang tinggal berhampiran dengan kawasan sungai supaya berjaga-jaga dan bersiap sedia.

“Diharap penduduk berwaspada dan bersiap sedia untuk berpindah sekiranya diarah oleh pihak berkuasa dan menyimpan segala dokumen penting seperti kad pengenalan, surat beranak, geran tanah dan sebagainya,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Sebuah rumah penduduk digenangi air berikutan fenomena air pasang besar di Kampung Sungai Chengkeh, Serkat, Pontian, hari ini.

Tambah Ab. Samir, selain rumah penduduk, air pasang besar turut menyebabkan perkuburan Islam Kampung Sungai Dinar turut ditenggelami air sepertimana yang berlaku pada tahun-tahun sebelum ini.

“Petang ini pula ada seorang jenazah yang akan dikebumikan di tanah perkuburan tersebut diharap prosesnya dapat berjalan lancar dan air cepat surut,” ujarnya.

Seketeriat Jawatankuasa Pengurusan Bencara Daerah (JPBD) Pontian ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut dan ketinggian air pasang besar pada pukol 11.55 pagi adalah 3.6 meter.

Tambah seketeriat tersebut, fenomena air pasang besar di daerah Pontian telah bermula pada 18 Februari sehingga berakhir pada 24 Februari dan meminta penduduk berhampiran sungai dan pantai sentiasa waspada.

“Sekiranya air pasang besar bertembung dengan hujan lebat, penduduk perlu bersiap sedia untuk berpindah jika diarahkan oleh pasukan penyelamat yang akan tiba membantu,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI