LONDON – Pengurus Tottenham Hotspur, Jose Mourinho memuji kekuatan yang dipamerkan oleh para pemainnya biarpun beliau membuat keputusan melakukan rombakan besar ke atas skuadnya ketika mencatat kemenangan 3-0 ke atas LASK Linz awal pagi semalam.
Hanya tiga pemain sahaja pemain utama yang diturunkan iaitu Davinson Sanchez, Ben Davies dan Sergio Reguilon mengekalkan posisi mereka ketika Spurs terikat 3-3 menentang West Ham United.
Biarpun menurunkan ramai pemain simpanan dalam kesebelasan utama, Spurs berjaya mendahului perlawanan dengan dua gol pada separuh masa pertama sebelum melengkapkan gol ketiga enam minit sebelum perlawanan berakhir.
“Saya sangat gembira dengan aksi yang dipamerkan. Kami meletakkan kepercayaan kepada semua pemain termasuk barisan pemain simpanan kerana mereka sentiasa bekerja keras dan bersedia untuk diturunkan.
“Biasanya saya tidak akan mempertaruhkan pemain simpanan pada aksi pertama terutama di laman sendiri kerana mahu memastikan tiga mata penuh diperoleh tetapi saya sangat mempercayai pemain ini dan mereka membalasnya.
“Ia bukanlah aksi yang menakjubkan tetapi ia persembahan yang cukup baik,” katanya.
Pada aksi berkenaan, Mourinho hanya memasukkan pemain utamanya, Son Heung-min, Dele Alli dan Giovani Lo Celso pada separuh masa kedua.
Biarpun sedar keputusannya itu mengecewakan ramai pemain, Mourinho enggan mengambil risiko menurunkan kesebelasan terkuatnya kerana bimbang dengan masalah kecederaan.
“Mereka sentiasa berjuang tetapi tidak semua pemain akan diturunkan. Musim lalu saya kehilangan ramai pemain di bahagian serangan kerana masalah kecederaan.
“Musim ini kami perlu uruskan pemain dengan sebaik mungkin supaya masalah seperti itu tidak berulang,” jelasnya. – AGENSI