SEKALIPUN Harimau Malaya sudah memiliki dua ‘set’ skuad yang berbeza, peluang buat pemain tempatan lain untuk dipilih oleh Kim Pan-gon ke Piala Asia masih terbuka luas.
Transformasi yang dilakukan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) yang menyaksikan 14 kelab bertanding di Liga Super, membuatkan jurulatih kebangsaan itu menjadi individu paling lega kerana perubahan kali ini merupakan pentas buat pemain menjadi lebih kompetitif.
“Kami sekarang ada kumpulan besar pemain yang boleh bersaing di peringkat Asia. Tiada jaminan (tempat), jadi pemain dalam skuad Jun (kelayakan Piala Asia) dan Disember (Piala AFF) lalu perlu bersaing antara satu sama lain.
“Pemantauan secara menyeluruh akan dilakukan sehingga pusingan akhir Piala Asia. Pemain harus bersaing dan akhir sekali, siapa yang menunjukkan persembahan lebih baik mereka akan pergi ke Piala Asia,” katanya.
Selepas Qatar dipilih menjadi tuan rumah bagi menggantikan China yang menarik diri, kemahuan pemain tempatan pastinya sedang memuncak kerana kejayaan mendapat tempat dalam skuad negara memberi peluang beraksi di venue Piala Dunia.
Mengulas lanjut, jurulatih dari Korea Selatan itu meluahkan rasa teruja untuk melihat perubahan dalam saingan Liga Malaysia (Liga M).
“Kita ada lebih banyak pasukan dalam divisyen utama. Saya berharap kualiti, persaingan dan kepantasan permainan berada pada tahap tinggi, malah saya juga mahu lihat pemain bermain banyak perlawanan.
“Kami akan terus memantau perlawanan sama ada secara langsung atau tidak langsung dengan menempatkan barisan kejurulatihan untuk lihat setiap perlawanan. Apa yang sudah dilakukan akan diteruskan, jadi kami mahu lebih banyak pemain berkualiti dan berbakat.
“Bagi saya, perkara paling penting adalah kompetitif. Pemain lain diharap mencabar pemain utama dan merebut tempat dalam kesebelasan utama kerana ia juga menjadi antara perkara penting untuk skuad kebangsaan.
“Kami mahu fokus untuk mendapatkan lebih ramai pemain berbakat, mungkin juga kita boleh lihat lebih ramai pemain muda dari skuad bawah 23 tahun,” katanya.