KAJANG – Bekas penulis blog Papagomo diperintah membela diri oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mencederakan Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman empat tahun lalu.
Selain pertuduhan mencederakan Syed Saddiq, Papagomo atau nama sebenarnya Wan Muhammad Azri Wan Deris, 40, turut diperintah membela diri atas satu lagi pertuduhan pindaan iaitu menyebut perkataan kurang sopan terhadap bekas Menteri Belia dan Sukan itu.
Majistret Muhammad Noor Firdaus Rosli memutuskan demikian terhadap Papagomo selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan prima facie terhadap kedua-dua pertuduhan itu.
Dalam penghakiman ringkasnya keputusan itu dibuat selepas mahkamah mendengar dan meneliti semua keterangan daripada saksi-saksi pendakwaan.
Bagi pertuduhan mendatangkan cedera, Papagomo didakwa sengaja mendatangkan kecederaan terhadap Syed Saddiq di bahagian leher dan bahu, di tepi jalan Persiaran Impian Perdana, Saujana Impian di sini pukul 11.05 pagi pada 16 Februari 2019 yang didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
Hukuman bagi seksyen itu membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda hingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Sementara bagi pertuduhan pindaan lelaki itu didakwa dengan niat menyebut perkataan kurang sopan dan menghina terhadap Syed Saddiq iaitu “kau bodoh” dimana keamanan mungkin terganggu.
Kesalahan itu didakwa dilakukan pada tempat, masa dan tarikh sama mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 yang memperuntukkan denda maksimum RM100 jika sabit kesalahan.
Ketika prosiding semasa dibacakan semula bagi pertuduhan pindaan itu tertuduh mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu.
Sebelum ini seramai 11 saksi pendakwaan telah dipanggil memberikan keterangan.
Dalam prosiding hari ini pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Norfarhanim Abdul Halim manakala tertuduh diwakili peguam peguam Nik Saiful Adli Burhan dan Logen Eskander.
Mahkamah kemudian menetapkan empat hari iaitu 22 dan 23 Mei serta 12 dan 13 Jun ini bagi bicara bela diri terhadap kedua-dua pertuduhan itu
Pada 16 Februari 2019, Syed Saddiq membuat laporan mendakwa dicekak dalam satu insiden sebaik selesai proses penamaan calon di Dewan Sri Cempaka, Majlis Perbandaran Kajang (MPKj).
Pada 21 Februari tahun sama iaitu sehari selepas dibebaskan dengan jaminan polis, Papagomo membuat satu laporan polis terhadap Syed Saddiq atas dakwaan membuat laporan palsu terhadap dirinya.
Laporan itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, dengan menyifatkan insiden kononnya beliau menyerang Syed Saddiq selepas penamaan calon itu sebagai perselisihan faham. – KOSMO! ONLINE