KUANTAN – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pahang berjaya mematahkan cubaan menyeludup kira-kira dua juta batang rokok putih dengan nilai keseluruhan berjumlah RM1.5 juta.
Pengarah Kastam Pahang, Wan Apandi Wan Hassan berkata, hasil daripada maklumat awam pada 12 Februari lalu, pihaknya berjaya mengesan sebuah lori yang diletakkan di parkir sebuah stesen minyak di Jalan Kota Bharu – Kuala Terengganu di Jerteh, Terengganu.
“Tiada individu berada di dalam lori dipercayai dalam perjalanan ke Pantai Timur yang ditinggalkan di perkarangan stesen minyak itu.
“Hasil pemeriksaan fizikal di tempat kejadian mendapati muatan yang dibawa adalah rokok yang disyaki barang larangan import,” katanya dalam sidang akhbar di Wisma Kastam Sultan Ahmad Shah, di sini, hari ini.
Menurutnya, rokok putih yang dirampas dianggarkan bernilai RM160,000 dengan jumlah cukai berjumlah RM1,336,000 sekali gus menjadikan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM1,551,000.
Katanya lori dan rokok-rokok yang dirampas dibawa ke Bahagian Penguatkuasaan Kuantan untuk siasatan lanjut.
Dalam pada itu Wan Apandi berkata, berdasarkan siasatan, sindiket menggunakan lori separuh kanvas itu dipercayai bergerak aktif pada waktu malam sehingga awal pagi bertujuan mengaburi mata pihak berkuasa.
“Penyeludupan ini bukan sahaja merugikan negara dari segi kehilangan hasil, malah ianya turut mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat.
“Kes ini disiasat di bawah Akta Kastam 1967 yang memperuntukkan hukuman denda 20 kali ganda nilai barang atau RM 500,000.00 (yang mana lebih tinggi), atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan,” katanya. – KOSMO! ONLINE