WALAUPUN berat untuk mengumumkan persaraan daripada karier bola sepak profesional, Safee Sali, 39, tidak pernah rasa kesal dengan keputusannya kerana sudah mencurahkan segala keringat kepada Malaysia.
Bagaimanapun, hero Harimau Malaya ketika menjulang Piala Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) 2010 meninggalkan pesan kepada pemain masa kini supaya melonjakkan kedudukan Malaysia dalam ranking Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
“Untuk Harimau Malaya saya sudah lakukan sehabis baik dengan mewakili negara di Pestabola Merdeka, Piala Asia dan memenangi Piala AFF. Saya lakukan sehabis baik saya mampu untuk menaikkan ranking Malaysia, jadi tiada lagi penyesalan dalam diri saya.
“Masa latihan percubaan dengan Cardiff City dulu (2011), jurulatih mereka mahukan saya tetapi ranking kita tidak lepas. Jadi, saya harap siapa pun main dengan skuad kebangsaan selepas ini, bantulah pasukan baiki ranking,” katanya pada Majlis Pengumuman Persaraannya semalam.
Turut hadir pada majlis itu adalah Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin, Setiausaha Agungnya, Noor Azman Rahman dan Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Pemain-Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM), Izham Ismail.
Mengulas lanjut tentang persaraannya, Safee akui keputusan itu adalah tepat kerana fizikalnya tidak lagi mampu bersaing dengan pemain masa kini dan ia dibuat untuk mengelakkan timbul beban kepada mana-mana pasukan diwakilinya.
“Walaupun saya tidak ada kecederaan serius, tetapi saya tidak mampu bersaing secara kompetitif dengan pemain lain dan sekarang adalah masa terbaik untuk umum persaraan. Berat apabila rakan sepasukan mahu saya bermain dalam kesebelasan, namun saya tidak mampu dan semua itu buatkan saya tidak bermotivasi serta tertekan.
“Memang sedikit emosi sebab sudah hampir 20 tahun saya dalam bola sepak, semua jatuh bangun saya sudah lalui sejak mula beraksi pada usida 19 tahun. Saya sudah boleh terima hakikat perlu beralih ke episod baharu kehidupan,” katanya. – KOSMO! ONLINE