fbpx

Reen Rahim tangguh nak anak demi lumba kereta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
REEN bersetuju terlibat dengan perlumbaan Toyota Gazoo Racing selepas diberi kebenaran daripada ibunya yang mahu dia melawan ketakutan memandu kereta.

PETALING JAYA – “Doakan tahun hadapan saya akan anak kembar terus.”

Demikian luahan pelakon Reen Rahim apabila sanggup menangguhkan perancangan memiliki anak dalam masa terdekat demi menyertai program perlumbaan kereta.

Reen atau nama lengkapnya Noreen Ashikin Abdul Rahim mengakui, telah lama menyimpan hasrat untuk memasuki perlumbaan kereta selepas melihat rakan-rakannya menyertai acara Toyota Gazoo Racing (TGR).

“Sebenarnya ada kisah di sebalik Toyota Gazoo ini. Sama ada mahu anak atau lumba kereta.

“Dari dulu memang saya suka tengok kawan-kawan yang terpilih menyertai Toyota Gazoo.

“Nampak gempak sebab bukan senang untuk dapat berlumba di sini. Lumba betul-betul bukan main-main sampai terdetik dalam hati seronok kalau dapat sertai,” katanya.

Tambah pelakon berusia 35 tahun itu, tawaran menyertai Toyota Gazoo diterima sejak tahun lepas iaitu tiga hari sebelum dia melangsungkan pernikahan. Ketika itu, dia ragu-ragu untuk membuat keputusan.

“Tiba-tiba tahun lepas, saya dapat tawaran Toyota Gazoo tiga hari sebelum bernikah.

“Saya sudahlah kahwin lambat, kalau sertai memang susah untuk ada anak walaupun pihak Toyota tidak keluarkan syarat.

“Tapi kalau fikir logik, memang tidaklah saya akan mengandung sebab kena berlumba sehingga bulan Oktober. Jadi, saya ketepikan keinginan dan terus tolak tawaran tersebut,” ujarnya.

Meskipun menolak tawaran tersebut kerana lebih memilih keluarga berbanding minat, pelakon filem Daddyku Gangster itu diberi peluang untuk berfikir.

“Saya berdoa dalam hati kerana runsing sama ada tawaran ini adalah ujian atau rezeki dan ikutkan sahaja aturan Allah.

“Selang dua atau tiga hari, pihak mereka menghubungi saya untuk mengesahkan sama ada saya benar-benar mahu tolak tawaran.

“Saya minta masa selama dua ke tiga hari untuk berfikir dan berbincang dengan suami,” katanya.

Selain suami, Reen turut meminta pandangan daripada ibunya berhubung penyertaan dalam acara terbabit.

“Suami pun runsing untuk membuat keputusan walaupun sering menyokong apa yang saya lakukan. Saya juga minta pandangan umi (ibu).

“Dia suka saya buat benda lasak, lebih-lebih lagi saya jenis pemalas dan memandu secara sangat perlahan sebab takut. Dia mahu saya melawan ketakutan tersebut,” jelasnya.

Setelah membuat pertimbangan, pelakon asal Klang itu nekad meneruskan minat dan menyahut tawaran sekali seumur hidupnya itu.

“Saya yakin ini rezeki yang Allah susun dan alhamdulillah tidak sangka dapat tawaran sebegini,” ujarnya yang kini secara rasmi bergelar TGR Family secara rasmi untuk musim keenam Toyota Gazoo Racing.

Terdahulu, Reen selamat bergelar isteri kepada ahli perniagaan, Ahmad Nur Hazim Zainal Abidin pada 24 Disember 2022 setelah berkenalan selama dua tahun. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI