SEREMBAN – Pengusaha tempe yang juga pemimpin Tarekat al-Naqsyabandiah al-Khalidiyyah dijatuhi hukuman denda RM4,500 di Mahkamah Tinggi Syariah di sini, hari ini selepas mengaku bersalah menghina agama Islam.
Hakim Syarie, Kamal Bashah Ahmad Tajuddin menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh Habib Shah Firdaus Habib Ahmad, 60, yang membuat pengakuan tersebut selepas mengambil kira hujahan mitigasi dan pemberatan daripada pihak pendakwaan serta pembelaan.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dihukum penjara tiga bulan jika tertuduh gagal membayar denda, namun tertuduh menjelaskan denda itu.
Mengikut pertuduhan, Habib Shah Firdaus telah disifatkan menghina agama Islam dengan cara membuat pengakuan sebagai Imam Mahdi sedangkan pengakuan tersebut adalah palsu.
Kesalahan itu dilakukan antara Januari hingga Mac 2022 di Markas Tarekat Naqsyabandiyyah Al – Khalidiyyah Jalan Labu Batu 8 , Kampung Jawa di Seremban.
Sehubungan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 50 (i) Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Sembilan) 1992, jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Terdahulu, peguam Ahmad Shaher Mohd. Fuad yang mewakili tertuduh memohon hukuman denda dikenakan terhadap anak guamnya dan tiada penjara kerana dia sudah berusia selain perlu menanggung isteri yang tidak bekerja serta dua anak.
Menurut Ahmad Shaher, anak guamnya itu sudah berusia 60 tahun dan mempunyai seorang isteri yang tidak bekerja manakala dua orang anaknya dengan salah seorang daripadanya merupakan orang kelainan upaya (OKU). – KOSMO! ONLINE