SHAH ALAM – Kira-kira 250 penunggang motosikal ‘bermandi peluh’ apabila terpaksa menolak motosikal hampir tiga kilometer dari Dataran Shah Alam ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, baru-baru ini.
Kesemua mereka berusia 16 hingga 24 tahun itu diarahkan susulan penahanan mereka menerusi Op Khas Kesalahan Nombor Motosikal atau Op Motosikal pada 18 Februari lalu.
Aksi mereka menolak motosikal tersebut sempat dirakam orang ramai sebelum tular menerusi video berdurasi satu minit 36 saat di aplikasi TikTok.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, operasi ini dilaksanakan serentak di seluruh negara setelah banyak rungutan diterima oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengenai ketidakpatuhan rakyat berkaitan undang-undang dan peraturan jalan raya.
Katanya, sebanyak 312 buah kenderaan dan 341 orang individu telah diperiksa.
“Hasil operasi itu, sebanyak 285 keping saman dikeluarkan termasuk kesalahan melibatkan lesen memandu dan nombor plat kenderaan ‘fancy’ selain 94 keping saman kerana kesalahan nombor pendaftaran.
“Selain itu, sejumlah 81 buah motosikal pelbagai jenis telah disita dibawah Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana tidak mempunyai lesen memandu kelas B2 dan pelbagai kesalahan lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelas Mohd. Iqbal, pihaknya akan terus komited dalam menjalankan penguatkuasaan bagi memberikan peringatan dan kesedaran kepada pengguna kenderaan agar semua pengguna kekal selamat semasa berada di atas jalan raya.
“Orang awam dinasihatkan agar sentiasa mematuhi peraturan jalan raya yang telah ditetapkan,” katanya. – KOSMO! ONLINE