KUALA LUMPUR – Sepasang warga emas berputih mata apabila hajat ingin memiliki tanah dan rumah tidak kesampaian apabila ditipu RM140,000 melalui sindiket jual beli tanah pertanian (lot lidi) di Jenderam, Sepang.
Suami isteri itu membeli dua lot tanah berkeluasan 7,000 kaki persegi daripada seorang individu di Batu 29, Jalan Jenderam Salak pada tahun 2017.
Individu tersebut bertindak sebagai pengurus yang menguruskan proses jual beli lot tanah tersebut menyatakan mereka telah melantik peguamcara yang akan menguruskan proses dokumentasi dan juga pendaftaran pemilikan bagi hartanah tersebut setelah membuat bayaran harga belian tanah itu.
Dengan mempercayai maklumat yang disampaikan oleh individu tersebut, mangsa telah bersetuju membuat pembayaran penuh harga belian lot tanah tersebut kepada peguamcara dan juga syarikat yang berpangkalan di Shah Alam.
Mangsa yang ingin dikenali sebagai Azlan, 60, berkata beliau telah menandatangani perjanjian pembelian tanah tersebut pada 19 September 2017 lalu dan membayar secara tunai pembelian lot tanah itu, namun sehingga kini tidak dapat hak pemilikan tersebut oleh penjual itu.
Dia yang merupakan seorang pencen swasta berkata, sejak tahun 2017 pelbagai rundingan telah dilakukannya bersama individu dan peguam tersebut, namun tiada tindakan susulan dilakukan menyebabkan dia bersama isteri berasa tertipu berhubung pembelian tanah tersebut.
“Saya membeli tanah tersebut adalah bagi membuat rumah selepas pencen, usaha saya untuk mendapatkan individu tersebut bersama peguam di Shah Alam tidak berjaya berikutan pejabat mereka sudah tutup.
“Saya buntu dan tidak tahu bagaimana nak lakukan, bukan saya nak ambil hak orang lain, tetapi saya mahukan hak saya,” katanya kepada pemberita dalam satu sidang media di Sungai Besi, hari ini.
Ujarnya, dia juga meminta agar individu berkenaan untuk memulangkan semula duit pembayaran itu bagi rawatan isterinya yang menghidapi masalah mata sejak beberapa tahun lalu.
Tambahnya, laporan polis telah dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam dua minggu lalu, namun tiada tindakan lanjut yang dilakukan oleh pihak berkuasa.
“Pihak polis ada menerima laporan ini, tetapi mereka cadangkan untuk lakukan tindakan di bawah kes sivil, saya berasa buntu,” ujarnya.
Dalam pada itu, Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim meminta agar pihak berkuasa menyiasat dan mengambil tindakan terhadap kes berkenaan dibawah jenayah tipu bagi memberi keadilan terhadap mangsa.
“Rata-rata daripada maklumat yang kita terima, apabila laporan polis dibuat berkaitan lot lidi ini sebahagian daripada pegawai penyiasat meminta supaya mengklasifikan kes ini sebagai NFA (tiada tindakan lanjut) dan meminta pengadu untuk merujuk kepada majistret atau memulakan saman sivil.
“Ini mendukacitakan kita. Kalau kita nak memulakan saman kepada syarikat tersebut yang mempunyai reputasi saya tidak ada masalah sebab syarikat ini mempunyai aset,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE