fbpx

Artis sumbang barangan peribadi sokong Infak Corner

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TIGA selebriti popular, DJ Lin, Ayda Jebat dan Izreen Azminda antara yang terlibat dalam Infak Corner dengan menyumbang barangan peribadi masing-masing kepada golongan memerlukan.

CYBERJAYA – Berkongsi kegembiraan dan rezeki dengan golongan yang memerlukan menjadi matlamat utama ruangan infak diperkenalkan pada penganjuran jualan Carboot Sale DXN Cyberville yang akan berlangsung pada 26 Februari ini.

Lebih bermakna apabila usaha tersebut mendapat sokongan tiga artis popular iaitu Ayda Jebat, Izreen Azminda dan DJ Lin.

Ketiga-tiga selebriti itu menyumbangkan barangan peribadi untuk diberikan kepada mereka yang memerlukan dan boleh didapati sempena jualan yang akan berlangsung pada Ahad ini di Cyberjaya.

Menurut Ayda, dia melihat usaha yang diperkenalkan sebagai langkah baik bagi menyalurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan.

“Sebaik ditanya saya terus bersetuju kerana matlamatnya bagus dan banyak mainan anak saya yang masih dalam keadaan baik untuk dikongsikan.

“Saya juga percaya tidak salah kita kongsikan kegembiraan dan menyumbangkan barangan asalkan masih dalam keadaan baik,” kata penyanyi lagu Pencuri Hati itu.

Sementara bagi penyampai radio Suria FM, DJ Lin, dia berkongsi koleksi baju yang masih dalam keadaan sempurna buat sesiapa saja yang berminat.

Dia bersyukur kerana diberikan peluang untuk sama-sama menyumbang pakaian yang masih elok, malah ada yang belum dipakai untuk ruangan infak berkenaan.

“Saya puji usaha yang diperkenalkan kerana ini menjadi saluran untuk selebriti seperti kami berkongsi apa yang mampu dengan peminat serta golongan sasaran,” katanya yang sedang sibuk dengan siri Jelajah Suria.

Dalam pada itu, pelakon Izreen Azminda turut menyumbang barangan bayi untuk Infak Corner.

Menurut ibu kepada tiga orang anak itu, inisiatif sebegini cukup baik kerana dapat membantu golongan kurang bernasib baik.

“Bagi saya inisiatif mengadakan Infak Corner di acara Car Boot Sale ini satu langkah yang baik. Selain pengunjung boleh membeli-belah, mereka yang kurang bernasib juga tidak pulang dengan tangan kosong.

“Kita yang menyumbang juga mendapat pahala. Jadi, saya menyeru orang ramai yang memiliki barangan tidak kira baharu atau terpakai yang masih dalam keadaan baik untuk turut menyumbang,” kata Izreen.

Disoal tentang sumbangannya, pelakon itu memberitahu kebanyakan barangan yang diberi kepada Infak Corner adalah barangan anak-anaknya.

“Saya baru saja berpindah rumah dan ketika berkemas baru saya sedar begitu banyak barangan anak yang tidak pernah digunakan. Mereka juga sudah agak besar jadi lebih baik saya sumbangkan kepada orang lain,” ujarnya.

Mereka yang berminat boleh menyertai ruangan Infak Corner pada 26 Februari ini sama ada sebagai penyumbang atau mahu mengambil barangan yang diperlukan.

Bagi yang ingin menyumbang, barangan diperlukan berupa pakaian dan makanan terpakai yang masih dalam keadaan baik atau baharu serta makanan kering.

Selain Infak Corner, pelbagai aktiviti menarik disediakan pada acara Carboot Sale yang berlangsung dari pukul 1 tengah hari sehingga 8 malam, antaranya jualan makanan, minuman, barangan terpakai, aktiviti kanak-kanak, persembahan artis popular dan zumba BollyX.

Selebriti lain yang turut serta adalah Wanna Ali, Adzrin Adzhar, 4Forty dan Syed Ali. Lebih istimewa, ahli parlimen Muar, Syed Saddiq akan turut hadir pada sebelah petang sebagai tanda sokongan untuk acara berkenaan.

Sebarang pertanyaan boleh dibuat menerusi maklumat lanjut dalam akaun Instagram @dxnbulletinofficial atau emel [email protected]. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI