BEKAS pemain skuad kebangsaan, Rezal Zambery Yahya percaya, kejohanan berprestij, Piala Malaysia pada musim ini lebih sukar untuk diramal selain membawa cabaran tersendiri selepas menggunakan format kalah mati tanpa aksi timbal balik.
Kata Rezal, format kali ini memastikan tiada ruang buat mana-mana pasukan melakukan kesilapan, selain ketua jurulatih juga dituntut untuk membariskan kesebelasan terbaik kerana apa sahaja boleh berlaku dalam tempoh 90 minit.
“Perubahan format dibuat Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) ekoran pandemik Covid-19 ketika ini adalah langkah positif selain memastikan peluang buat semua pasukan terbuka.
“Setiap pasukan yang sudah biasa melalui saingan peringkat kumpulan yang mana mereka masih boleh mencatur peluang jika seri atau kalah perlu mengubah mentaliti kerana aksi kali ini tiada timbal balik.
“Justeru, ia adalah perlawanan yang cukup kompetitif kerana hanya kemenangan dalam satu perlawanan sahaja mampu membawa mereka ke peringkat seterusnya,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Mengulas lanjut, Rezal yang pernah menjuarai trofi Piala Malaysia bersama Negeri Sembilan pada 2009 percaya pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT), Kedah, Terengganu FC dan Selangor adalah pilihan utama pada kempen kali ini.
“Saya masih cenderung dengan pasukan JDT, Kedah, Terengganu FC dan Selangor antara pasukan yang perlu diberi perhatian. Pada masa sama, mereka perlu berwaspada dengan aksi pasukan underdog seperti Pulau Pinang yang konsisten sepanjang musim ini,” katanya.
Sebagai rekod, JDT telah berjaya menjuarai trofi Piala Malaysia pada tahun lalu selepas menewaskan pasukan Kedah 3-0 di pentas final di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur.