fbpx

Lelaki pegang senjata api, tangan bergari ditahan polis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar video yang dimuat naik di laman media sosial Telegram Edisi Siasat, Jumaat lalu.

PETALING JAYA – Seorang lelaki ditahan berhubung video tular memaparkan dirinya sedang memegang senjata api dengan kedua belah tangan bergari di dalam sebuah kenderaan, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Delhan Yahaya, berkata pihaknya menerima laporan polis kira-kira pukul 6.16 petang, pada Jumaat lalu.

“Laporan tersebut dibuat berhubung satu video tular di laman media sosial Telegram Edisi Siasat yang memaparkan seorang individu memegang senjata api dengan kedua belah tangan bergari di dalam sebuah kenderaan.

“Sehubungan itu, Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur telah membuka satu kertas siasatan di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Seksyen 89 Akta Polis 1967 dan Seksyen 8 Akta Senjata 1960.

“Bertindak atas maklumat, seorang lelaki berusia 46 tahun warga tempatan berjaya ditahan kelmarin kira-kira pukul 1.05 pagi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah Noor Delhan, pihak polis telah merampas sebuah telefon bimbit jenis Vivo dan seutas jam tangan berjenama.

Suspek juga telah direman selama empat hari sehingga 21 Februari serta kertas siasatan sedang dilengkapkan dan seterusnya akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat.

Dalam pada itu, Noor Delhan turut menasihati orang ramai supaya tidak terlibat di dalam sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang.

Pada Jumaat lalu, tular satu hantaran di laman media sosial Telegram Edisi Siasat yang memuat naik kenyataan beserta video berunsur hinaan dan kebencian terhadap Ketua Polis Negara dan Polis Diraja Malaysia.

Difahamkan, video berdurasi enam saat tersebut diambil pada tahun 2016 selepas selesai aktiviti menembak di Lapang Sasar Bukit Aman. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI