KUALA LUMPUR – Pasangan selebriti Zahirah Macwilson dan Aiman Hakim Ridza memilih untuk menyambut kelahiran anak sulung mereka di Perth, Australia.
Dalam satu perkongsian di laman Instagram pasangan itu semalam, Zahirah dan Aiman memuat naik sekeping foto mereka berada di dalam kapal terbang ketika dalam perjalanan pulang ke kampung halaman aktres tersebut di Perth.
“Jumpa lagi tahun depan Malaysia. Kami sayang kamu semua.
“Terima kasih atas semua doa yang baik-baik. InsyaAllah kami akan pulang bertiga,” ujar aktres berusia 25 tahun itu menerusi status yang di muat naik dalam Instagram miliknya.
Zahirah atau nama sebenarnya Nur Zahirah MacWilson Zainol yang kini sedang sarat hamil tujuh bulan dijangka melahirkan cahaya mata sulung pada Disember ini.
Kepulangan pasangan itu ke Australia turut dikongsi oleh ibu Zahirah, Maslinda Yusoff yang menetap di Perth.
“Di waktu-waktu Covid-19 sekarang ini, banyak betul dugaan yang mereka lalui untuk pulang ke Perth.
“Syukur Alhamdulillah Allah SWT perkenankan doa-doa kami supaya segala urusan anak-anak dipermudahkan,” ujar Maslinda.
Perkara sama turut dikongsi oleh bapa kepada Zahirah, Zainol Macwilson yang mendoakan agar kedua-duanya selamat tiba di Perth dan dipermudahkan segala urusan untuk bersalin nanti.
Sejurus tiba di Perth, Zahirah dan Aiman perlu menjalani proses kuarantin terlebih dahulu selama dua minggu mengikut prosedur kesihatan bagi mengekang penularan wabak Covid-19.
Terdahulu, Zahirah yang dibesarkan di Perth mendirikan rumah tangga dengan pelakon dan juga penyanyi, Aiman Hakim Redza pada 8 Jun tahun lalu.