DUBAI, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) – Dubai memecahkan rekod air pancut terbesar di dunia kelmarin ketika kota raya di rantau Teluk itu berusaha meningkatkan sektor pelancongannya di sebalik dunia kini dilanda pandemik koronavirus.
Dinamakan The Palm Fountain, air pancut meliputi kawasan seluas 1,335 meter persegi itu terletak di daerah beli-belah dan menjamu selera, Palm Jumeirah iaitu pulau buatan manusia berbentuk pokok palma.
Orang ramai yang memakai pelitup muka sebagai langkah pencegahan wabak koronavirus berkumpul di lokasi air pancut itu kelmarin untuk menonton pertunjukan tarian jet air, muzik dan cahaya.
“Rekod Dunia Guinness (GWR) berbesar hati menyaksikan secara rasmi The Palm Fountain memecahkan rekod air pancut terbesar dunia,” kata Pengurus Kanan Pemasaran GWR, Shaddy Gaad dalam satu kenyataan.
Dubai yang merupakan salah satu emiriyah membentuk negara UAE sudah memegang beberapa rekod dunia sebelum ini termasuk bangunan tertinggi, Burj Khalifa dan kereta polis terpantas iaitu Bugatti Veyron.
Kota raya yang dikunjungi jutaan pelancong ini memiliki salah satu air pancut terbesar dunia berhampiran Burj Khalifa.
Air pancut terbaharu itu memiliki lebih 3,000 lampu diod pemancar cahaya (LED) dan 7,500 nozel yang boleh memancutkan air setinggi 105 meter. – AFP