PETALING JAYA – Banjir kilat dan hujan lebat yang dilaporkan berlaku di beberapa kawasan sekitar Kuala Lumpur menyebabkan kesesakan lalu lintas di beberapa laluan di ibu negara pada petang ini.
Menurut Facebook Info Trafik Kuala Lumpur, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), kesesakan tersebut melibatkan Jalan Pahang, Jalan Loke Yew, Jalan Bangsar, Jalan Syed Putra, Jalan Cheras, dan Jalan Tun Sambanthan.
“Cuaca hujan turut menyebabkan kesesakan di Jalan Damansara, Jalan Sungai Besi, Lebuh Raya Kuala Lumpur – Seremban, Jalan Maharajalela, Jalan Ampang, Jalan Tun Razak dan Jalan Istana.
“Dari Taman Metropolitan Kepong ke Sri Damansara dijangkakan mengalami kelewatan selama 1 jam 40 minit ekoran banjir kilat. Trafik juga terkesan teruk dari arah Sungai Buloh,” katanya.
Sementara itu, menurut Facebook Polis Kuala Lumpur, di Kampung Segambut Dalam, Sri Hartamas, paras air berada dalam keadaan sederahana dan terkawal setakat pukul 5.30 petang tadi.
Ujarnya, pemantauan akan diteruskan dari semasa ke semasa. – KOSMO! ONLINE