fbpx

Sebilik dengan Johan As’ari, Roslan Shah dituduh buat maksiat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KATA Roslan Shah, dia tidak pernah terfikir untuk melakukan perkara bukan-bukan ketika berada di Tanah Suci bagi menunaikan ibadah umrah.

PETALING JAYA – Selebriti versatil Roslan Shah berang selepas dituduh melakukan maksiat bersama pelakon Johan As’ari gara-gara tidur sebilik ketika mereka sama-sama mengerjakan ibadah umrah di Tanah Suci Mekah.

Menerusi hantaran yang dimuat naik dalam Instagram miliknya, Roslan atau mesra disapa Cik Lan berkongsi sekeping foto bersama Johan, serta dua lagi jemaah wanita lain dengan berlatar belakang Masjid Nabawi di Madinah.

Bagaimanapun, aksi Roslan melentokkan kepalanya di bahu pelakon filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan itu menerima reaksi kurang senang daripada seseorang sehingga dia dituduh berbuat maksiat.

“Maksiat. Tidur satu bilik,” tulis kata-kata pada gambar yang dikongsi Roslan dalam Instagramnya.

Marah dengan tuduhan yang dilemparkan, pengacara asal Singapura itu berasa sangat kecewa kerana difitnah selain mengancam untuk membuat laporan polis ke atas individu tersebut.

“Jangan sampai saya buat laporan polis nanti. Jangan suka buat fitnah. Kami masih di Madinah. Memang saya sebilik dengan Johan,” ujarnya.

Tambah Roslan, dia hairan wujudnya manusia sebegitu kerana sanggup melemparkan tuduhan tidak benar ke atas dirinya sedangkan dia tidak terfikir untuk melakukan perkara yang bukan-bukan.

“Apalah manusia seperti ini. Kami ukhwah (persaudaraan) sesama Islam. Datuk Ady Putra pun sudah beritahu pada saya untuk amalkan persaudaraan sesama Islam.

“Niat saya pun tidak fikir apa-apa pun. Masya-Allah,” jelasnya.

Menjengah dalam ruangan komen, ramai pengikutnya turut meluahkan rasa simpati terhadap Roslan selepas menjadi mangsa fitnah dengan tuduhan yang tidak elok.

“Lan, orang yang dengki dengan kau, suatu hari nanti akan mendapat balasan hebat. Sebenarnya mereka ini cemburu dengan kau. Jangan layan netizen yang tak ada bimbingan agama,” kata seorang pengikutnya.

“Apa masalahnya kalau Johan tidur sebilik dengan Cik Lan? Dua-dua muhrim (lelaki). Apalah kotor sangat fikiran. Jangan ambil kisah, biarkan mulut mereka mengata,” pujuk seorang lagi pengikutnya.

“Apa yang dikatakan maksiat? Sama-sama lelaki. Apa yang salah? Manusia zaman sekarang otak sempit,” kata seorang pengguna Instagram.

Untuk info, difahamkan Roslan berangkat mengerjakan ibadah umrah sejak 12 Februari lalu sehingga 23 Februari. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI