PETALING JAYA – Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mengesan beberapa iklan pinjaman wang di media sosial yang menggunakan logo SSM tanpa kebenaran.
Menerusi kenyataan SSM pihaknya menegaskan, sebagai sebuah badan berkanun, SSM tidak pernah memberi kebenaran kepada mana-mana pihak yang menawarkan perkhidmatan pinjaman wang untuk menggunakan logo SSM.
“Mana-mana pihak yang menggunakan logo SSM tanpa kebenaran boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 54 Akta Cap Dagangan 2019.
“SSM tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan di bawah peruntukan undang-undang terhadap pihak yang terlibat dengan penyalahgunaan logo SSM,” katanya hari ini.
Mengulas lanjut, SSM mengingatkan orang ramai supaya tidak menggunakan logo SSM di mana-mana platform termasuk media sosial dan bahan bercetak, tanpa kebenaran.
Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Pusat Panggilan SSM di talian 03-77214000 atau emel kepada [email protected]. – KOSMO! ONLINE