MELAKA – Seorang wanita yang bekerja sebagai pengawal keselamatan maut selepas digilis sebuah treler di Jalan Bukit Balai, Durian Tunggal di sini, petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 petang itu, mangsa, K. Kali Amma, 31, maut di tempat akibat kecederaan parah di seluruh anggota badan.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik negeri, Superintendan Hasan Basri Yahya berkata, ketika kejadian mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda Wave dalam perjalanan dari arah Durian Tunggal ke Gangsa.
“Setiba di satu kawasan berselekoh, motosikal mangsa tiba-tiba hilang kawalan menyebabkan mangsa terseret ke laluan bertentangan.
“Mangsa kemudian telah digilis oleh sebuah treler muatan arang batu dipandu seorang lelaki berusia 44 tahun yang gagal mengelak wanita berkenaan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Sementara itu, seorang penduduk Mohd. Harun Mohd. Yusod, 70, ketika ditemui di lokasi memberitahu, ketika kejadian dia berada di dalam rumah yang terletak berdekatan sebelum terdengar dentuman kuat dari arah jalan raya.
“Sini memang kerap berlaku kemalangan, saya melihat dari jauh dan menyangkakan ada muatan treler tersebut telah terjatuh berterabur di atas jalan.
“Apabila saya keluar dan tengok lebih dekat, saya terkejut apabila ternampak ia adalah serpihan motosikal dan terdapat mangsa di atas jalan dalam keadaan mengerikan,” katanya.
Sementara itu Hasan berkata, mayat wanita tersebut telah dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. -K! ONLINE