fbpx

Samenta mahu kerajaan tangani isu PKS dalam Bajet 2023

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (Samenta) berharap kerajaan mengambil langkah untuk menangani isu-isu mendesak yang melibatkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam pembentangan bajet 2023 pada hari Jumaat ini.

Pengerusinya, Datuk William Ng berkata, walaupun berdepan dengan tekanan kos dan kekurangan buruh kekal antara isu paling mendesak yang memberi kesan kepada pemulihan PKS adalah berhubung produktiviti rendah, anjakan digital, persaingan serantau serta pematuhan alam sekitar, sosial dan tadbir urus korporat (ESG) yang mesti ditangani secepat mungkin.

Pihaknya berharap agar kerajaan dapat mengambil tindakan segera dalam memastikan PKS kekal berdaya saing. Ini memerlukan reformasi dan penjajaran semula ekonomi negara tetapi buat masa yang terdekat, kita mulakan dengan intervensi fiskal melalui Bajet 2023.

“Kita perlu mengalih fokus intervensi dan bantuan kerajaan daripada pemberian geran langsung kepada potongan cukai berganda dan peningkatan pengetahuan antara PKS. 

 

“Ini bertujuan untuk menggalakkan disiplin kewangan yang lebih baik dalam kalangan PKS sendiri. Di antara permintaan kami adalah potongan cukai berganda sehingga RM1 juta bagi tahun tafsiran 2023 untuk perbelanjaan mengautomasikan perniagaan, menerima pakai pendigitalan dan IR4.0 dan untuk mematuhi piawaian ESG,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.

Gambar hiasan

Ng menjelaskan,  skop kemudahan peralihan rendah karbon perlu diperluaskan untuk merangkumi bayaran perundingan dan latihan serta sebarang penambahbaikan kemudahan dan proses yang boleh membawa kepada peningkatan produktiviti.

“Samenta berharap pendapatan bercukai RM500,000 yang pertama untuk PKS dikenakan tarif cukai yang rendah iaitu 15 peratus bertujuan  untuk menggalakkan PKS melabur semula keuntungan tersebut untuk mengembangkan perniagaan pasca pandemik,” ujarnya.

Tambah beliau, Samenta juga berharap kerajaan menangani masalah kekangan tenaga kerja dengan membenarkan potongan cukai berganda untuk perkhidmatan rundingan, latihan, pensijilan dan perisian untuk membantu PKS mengguna pakai sistem upah yang dikaitkan dengan produktiviti.

Selain itu, cadangan persatuan tersebut adalah mengurangkan anasir ejen pekerja asing yang mengenakan bayaran berlebihan dengan segera mengharamkan dan mendakwa individu-individu tersebut melalui undang-undang sedia ada seperti Akta Agensi Pekerjaan Swasta 1981.

Membenarkan penggunaan levi HRDC untuk pengambilan pelatih dan perantis dengan had elaun sebanyak RM1,000 sebulan setiap seorang untuk tempoh maksium enam bulan dengan tanpa had kepada bilangan pelatih dan perantis tersebut.

Persatuan juga berharap kerajaan dapat membenarkan pelajar asing di Malaysia bekerja maksimum 20 jam seminggu dalam sektor perkhidmatan profesional dan sektor peruncitan.

“Menyediakan rebat bil internet sebanyak 50 peratus untuk tahun 2023 kepada semua usahawan desa (mengikut poskod) bagi menggalakkan syarikat telekomunikasi memperluaskan perkhidmatan ke kawasan liputan rendah dan menggalakkan usahawan desa menyertai digital ekonom,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI