WASHINGTON – Seorang remaja lelaki berumur 19 tahun yang dituduh memiliki pornografi kanak-kanak dan ditangkap bersama sejumlah besar senjata api di dalam sebuah van telah melakukan carian internet berkaitan membunuh calon Presiden daripada Parti Demokrat Joe Biden, demikian menurut kertas pertuduhan di mahkamah kelmarin.
Alexander Hillel Treisman ditangkap pada Mei lepas selepas van Ford putihnya yang ditinggalkan di Kannapolis, Carolina Utara digeledah. Polis menemui sejumlah senjata api termasuk raifal separa automatik gaya AR-15 dan kanister bahan letupan.
Menurut kertas pertuduhan yang difailkan di Mahkamah Daerah AS untuk Daerah Tengah di Carolina Utara, pihak berkuasa turut menemui buku pembuatan bom, wang tunai AS$509,000 (RM2.11 juta) dalam mata wang Amerika Syarikat (AS) dan gambar swastika serta pesawat merempuh bangunan.
Wang tersebut dipercayai harta warisan Treisman, kata pertuduhan itu.
Susulan penangkapannya, Biro Siasatan Persekutuan (FBI) menggeledah telefon, komputer dan peranti lain milik tertuduh dan menjumpai sejumlah 1,248 klip video dan 6,721 gambar pornografi kanak-kanak.
Penyiasat daripada Gabungan Pasukan Petugas Keganasan pula mendapati bahawa pada 15 April lalu, Treisman memuat naik meme berserta tulisan bermaksud “haruskah saya membunuh Joe Biden?” manakala antara Mac hingga Mei lepas, dia melayari internet untuk mencari maklumat alamat rumah Biden, undang-undang senjata api dan gogal penglihatan malam.
Remaja itu juga membeli raifal AR-15 di New Hampshire dan pergi ke restoran makanan segera Wendy’s dalam jarak 6.4 kilometer dari rumah Biden. Dia kemudian menulis catatan senarai semak yang diakhiri dengan perkataan lakukannya.
Selepas penangkapannya, tertuduh mendedahkan bahawa dia minat dengan insiden pengganas dan penembakan beramai-ramai dan telah melakukan perjalanan ke seluruh AS untuk membeli pelbagai jenis senjata api.
Treisman ditangkap pada 28 Mei lalu dan pada 28 September lepas , dia didakwa oleh juri besar persekutuan kerana memiliki pornografi kanak-kanak. Remaja itu tidak mempunyai rekod jenayah lampau.
Sementara itu, saluran berita ABC News melaporkan bahawa masih tidak jelas mengapa Treisman hanya didakwa kerana memiliki pornografi kanak-kanak. – AFP