fbpx

IPTS tipu akreditasi MQA boleh didenda, penjara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) yang mengelirukan orang awam dengan mendakwa program ditawarkan mendapat akreditasi Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), berdepan denda atau penjara.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, tindakan itu boleh dikenakan kepada mana-mana IPTS yang terbabit sebarang aktiviti mempromosi dan mengiklankan program pengajian tanpa akreditasi MQA.

“Semua tindakan itu boleh diambil berdasarkan Seksyen 96 dan 97 Akta MQA (Akta 697) namun sepanjang tahun lalu sahaja, hanya satu aduan diterima berhubung penawaran program dibuat IPTS tanpa akreditasi.

“Pihak kementerian sentiasa memandang serius sebarang isu membabitkan integriti dan pengiktirafan IPT. Justeru pemantauan dan penguatkuasaan sentiasa dijalankan ke atas IPT bagi memastikan IPT sentiasa mematuhi akta dan peraturan yang berkuat kuasa,” katanya ketika di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Bung Mokhtar (BN – Kinabatangan) yang meminta Kementerian Pengajian Tinggi menyatakan usaha yang dilakukan bagi mengawal pertumbuhan IPTS yang tidak mendapat pengiktirafan MQA.

Mohamed Khaled berkata, berdasarkan peruntukan kedua-dua seksyen itu, mana-mana orang yang mendaftarkan pelajar bagi suatu program yang didakwa sebagai program diakreditasi tanpa suatu perakuan melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali.

“Malah, di bawah Seksyen 97, sebarang aktiviti mempromosi dan mengiklankan program pengajian yang tidak mendapat akreditasi MQA boleh disabitkan denda tidak melebihi RM200,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

“Sehingga Januari lalu, terdapat 416 IPTS yang didaftarkan di negara ini membabitkan 56 universiti, 34 kolej universiti, 316 kolej dan 19 kampus cawangan universiti luar negara,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI