fbpx

Thailand larang sekolah buang pelajar mengandung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pelajar-pelajar perempuan yang hamil dibenarkan untuk menghadiri sesi persekolahan di Thailand. - Foto AFP

BANGKOK – Kerajaan Thailand meluluskan undang-undang baharu melarang sekolah, kolej dan universiti memindahkan atau membuang pelajar perempuan yang hamil dalam usaha untuk melindungi hak mereka, lapor portal berita Firstpost kelmarin.

Menteri Pendidikan Tinggi, Sains, Penyelidikan dan inovasi, Anek Laothamatas dan Menteri Pelajaran, Treenuch Thienthong bersama-sama menandatangani dokumen itu yang kemudiannya diterbitkan dalam Warta Diraja pada Sabtu lalu.

Menurut peraturan itu, tiada institusi pendidikan kerajaan dibenarkan untuk membuang pelajar perempuan hamil atau dipindahkan ke sekolah lain tanpa persertujuan mereka.

Peraturan tersebut turut menyatakan bahawa larangan demikian adalah bagi menjamin hak pelajar untuk mendapatkan pendidikan berkualiti dilindungi.

Undang-undang itu berkuat kuasa di semua peringkat sekolah, kolej dan universiti, manakala menurut kementerian pelajaran, peraturan sama merangkumi rancangan kerajaan untuk memerangi kehamilan dalam kalangan remaja perempuan dan kesannya terhadap kehidupan golongan muda.

Menurut kerajaan, terdapat beberapa kemajuan dalam usaha mengurangkan bilangan kehamilan remaja perempuan.

Sumber kementerian melaporkan bahawa selepas Akta Pencegahan dan Penyelesaian Kehamilan remaja 2016 dilaksanakan, kadar keciciran dalam kalangan pelajar perempuan yang hamil telah menurun.

Hanya 13.7 peratus pelajar perempuan hamil menghadiri kelas pada 2016 berbanding 53.5 peratus yang tercicir, demikian menurut sumber itu.

Menurut sumber sama, pada 2021, peratusan pelajar yang menyambung pelajaran selepas hamil meningkat kepada 33.8 peratus, manakala peratusan pelajar hamil tercicir menurun kepada 36.1 peratus.

Berbanding 31 bagi setiap 1,000 penduduk yang direkodkan pada 2019, sumber itu mendakwa kadar kehamilan remaja perempuan berumur 15 hingga 19 tahun telah menurun kepada 25 bagi setiap 1,000 orang tahun lalu.

Laporan tersebut menyebut, kementerian kini berusaha untuk mengurangkan lagi kadar kehamilan dalam lingkungan umur 15 hingga 19 tahun kepada 15 bagi setiap 1,000 orang manakala dalam kumpulan umur 10 hingga 14 tahun kepada 0.5 bagi setiap 1,000 orang. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI