PADA 18 Februari lalu, pelakon jelita Park Shin-hye menyambut hari lahir yang ke-33.
Sebagai tanda penghargaan, Shin-hye berterima kasih kepada peminat yang menzahirkan ucapan hari lahir kepadanya dengan berkongsi hantaran Instagram gambar-gambar yang diambil dalam sebuah sesi fotografi.
“Terima kasih kepada semua yang meninggalkan ucapan selamat hari lahir.
“Selain itu, terima kasih juga atas kasih sayang dan menceriakan semasa saya sedih,” tulisnya dalam ruangan kapsyen.
Perkongsian pelakon filem The Call itu yang mengetengahkan konsep penggambaran seperti seorang remaja menuai perhatian peminat.
Hal ini kerana, ramai peminat tidak percaya bahawa Shin-hye kini sudah bergelar seorang ibu sejak Mei tahun lalu.