KUALA LUMPUR – Memiliki indeks jisim badan (BMI) yang tidak seimbang menjadi titik permulaan buat seorang usahawan untuk mengamalkan gaya hidup sihat terutamanya dari segi pemakanan dan bersenam sejak dua tahun lalu.
Muhammad Asyraf Samad, 25, berkata, sebelum ini berat badannya hanya 49 kilogram (kg) berbanding ketika ini 67 kg selepas melakukan senaman selama satu jam setiap hari.
Katanya, amalan gaya hidup sihat bukan sahaja membuatkan dirinya kelihatan ‘macho’ malah berasa selesa dan bebas daripada masalah kesihatan.
“Saya mengimpikan badan sasa selepas melihat rakan-rakan membina badan dan mula menceburkan diri dalam bidang ini sejak dua tahun lalu.
“Selain mengamalkan pemakanan sihat, saya turut mengambil makanan tambahan bagi membantu pertumbuhan otot,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.
Dia memperuntukkan sebanyak RM600 sebulan untuk membina badan termasuk membeli makanan tambahan.
Jelas anak kelahiran Melaka itu, dia turut membeli peralatan gim untuk memudahkan melakukan senaman di rumah.
“Bagi saya tidak perlu bersusah payah untuk ke gimnasium tetapi memadai dengan disiplin dalam melakukan latihan push-up setiap hari di rumah untuk membina otot,” jelas anak ketiga daripada empat beradik itu.
Menurut Asyraf, selain memberi semangat kepada diri sendiri, usahanya mengamalkan gaya hidup sihat turut memberi galakan kepada orang lain.
Walaupun berminat dalam bidang membina badan, Asyraf mahu memberi tumpuan kepada perniagaan berkaitan produk kesihatan lelaki yang diusahakannya sejak lima tahun lalu.
“Saya memasang impian untuk memiliki 3,000 cawangan serta sebuah wisma sendiri dalam perniagaan ini sekali gus dapat membantu orang ramai untuk berjaya bersama perniagaan yang diusahakan,” ujarnya.