SHAH ALAM – Suspek lelaki yang menikam pesakit di Hospital Selayang baru-baru ini dikatakan terlebih dahulu mengamuk di rumah kakaknya di Kuala Lumpur.
Pemangku Ketua Polis Selangor, Datuk S. Sasikala Devi berkata, siasatan awal mendapati lelaki berusia 22 tahun itu dari Lahad Datu, Sabah sebelum ke rumah kakaknya.
Katanya, ahli keluarga yang tidak dapat mengawal suspek kemudian menghubungi pihak polis bagi membawanya ke hospital berdekatan.
“Unit polis peronda kemudian mengiringi kereta waris yang membawa suspek ke hospital pada pukul 1.25 pagi, Selasa lalu.
“Sejurus selesai proses mengiring, anggota polis meneruskan tugasannya manakala kejadian berlaku pada pukul 3 petang hari sama,” katanya pada sidang akhbar hari ini.
Menurut beliau, pihaknya masih menjalankan siasatan bagaimana suspek mendapat senjata tajam iaitu pisau sehingga berlakunya kejadian tersebut.
Ujar Sasikala, suspek masih lagi ditahan di wad psikitiari di hospital dan tiada sebarang penangkapan dan pertuduhan dilakukan terhadapnya.
“Setakat ini, kita belum dapat menembual suspek dan dimaklumkan lelaki berada dalam keadaan yang tidak baik untuk diambil keterangan.
“Berhubung jumlah tikaman (kecederaan) mangsa, polis masih menunggu laporan daripada pihak hospital,” jelasnya.
Ketika ditanya berapa lama suspek mengidap penyakit mental, Sasikala memaklumkan pihak belum dapat mengenal pasti kerana laporan berkaitan belum diterima setakat ini.
Kosmo! sebelum ini melaporkan seorang lelaki berusia 29 tahun yang mengidap demam denggi datang ke Hospital Selayang untuk menerima rawatan sebelum ditikam seorang pesakit mental.
Tikaman itu menyebabkan mangsa cedera pada abdomen kiri dan kanan badan serta bahagian belakang badan. Mangsa kini dilaporkan stabil. – KOSMO!ONLINE