APABILA berbicara tentang busana sopan, segelintir kita mungkin membayangkan pakaian yang tidak begitu menarik atau dianggap ketinggalan zaman.
Begitu pun, tanggapan tersebut kini sudah tidak lagi relevan, berikutan wujudnya label pakaian Muslimah tempatan yang bukan sahaja patuh syariah, tetapi turut mementingkan gaya moden mengikut trend semasa.
Dengan hasrat untuk memartabatkan industri pakaian sopan tempatan ke tahap lebih tinggi, label pakaian sopan tempatan, ZUCCA tampil dengan seleksi busana yang bukan sahaja khusus untuk individu beragama Islam, tetapi turut bersifat inklusif dan sesuai buat sesiapa saja yang menginginkan gaya sopan.
Pengasasnya, Erica Yap berkata, menjelang tahun 2024, fesyen sopan kini bukan lagi terhad kepada golongan beragama Islam, tetapi turut diminati golongan beragama lain.
“Kami berhasrat untuk mengubah stigma atau stereotaip yang sering dikaitkan dengan busana sopan, antaranya termasuk tanggapan bahawa busana sopan ini tidak trendy.
“Justeru, ZUCCA menampilkan pelbagai pilihan busana mampu milik, kontemporari dan berkualiti tinggi untuk golongan muda urban di Malaysia yang menggemari pakaian harian yang bersifat praktikal,” ujarnya.
ZUCCA diasaskan pada tahun 2019 dengan fokus utamanya untuk mencari keseimbangan antara gaya dan juga busana sopan buat wanita Malaysia.
Rekaannya yang moden dan sopan, mampu memenuhi permintaan pelanggan yang mencari kedua-dua elemen tersebut dalam gaya harian.
ZUCCA menawarkan pelbagai jenis pakaian yang menarik seperti blaus longgar ala gadis Korea, seluar palazzo dan juga skirt labuh dalam pelbagai rona menarik.
Fabrik seperti sifon dan kain kapas yang digunakan juga adalah bagi memberikan lebih pilihan kepada para pelanggan.
Jelas Erica lagi, labelnya itu berhasrat mahu menghasilkan lebih banyak lagi busana sopan penuh gaya, tanpa sedikit pun menjejaskan kualiti fabriknya.
Selain memberi fokus kepada gaya wanita moden, jenama itu juga amat menitikberatkan kepuasan pelanggan dengan hanya mengamalkan jualan secara langsung atau direct to consumer.
Pengasas bersama ZUCCA, Gary Eng berkata, kaedah itu yang menghapuskan kos peruncit pihak ketiga, pemborong dan juga orang tengah dalam proses pengeluaran produknya menjadikan harga setiap helaian pakaian ZUCCA amat mampu milik.
Pakaian ZUCCA boleh dibeli menerusi laman web www.zucca.com.my dan juga platform beli-belah online seperti Shopee, TikTok dan juga Lazada.