Tahun 2020 benar-benar menguji. Ramai menyifatkan tahun ini sebagai paling mencabar, pelik dan gila.
Berdasarkan statistik Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), setakat 10 September lalu, seramai 79,737 individu hilang pekerjaan pada tahun ini.
Kadar pengangguran meningkat kepada 3.9 peratus pada Mac berbanding 3.3 peratus pada bulan sebelumnya. Namun, kadar pengangguran itu berada pada tahap 4.9 peratus pada Jun berbanding 5.3 peratus pada Mei.
Dalam situasi pandemik, sudah pasti perkara ini akan membebankan golongan pekerja yang hilang punca pendapatan.
Penulis sempat berhadapan situasi diberhentikan kerja pada Oktober tahun lalu. Mujur sebagai salah seorang pencarum SIP, penulis menerima faedah melalui Elaun Mencari Pekerjaan.
Jadi penulis sempat menikmati faedah-faedah melalui SIP, sekurang-kurangnya mampu melunaskan komitmen dengan bank.
Kanak-kanak yang lahir pada tahun 80-an (kini ada yang sudah menjangkau usia 40 tahun) mungkin terbiasa dengan visi Wawasan 2020.
Wawasan itu menjurus kepada keazaman menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju menjelang tahun 2020.
Ia meliputi sosial, politik, mutu kehidupan, nilai sosial, psikologi serta beberapa intipati lain lagi. Antara yang ditekankan adalah kestabilan politik dalam membangunkan sebuah negara maju.
Namun, tahun 2020 ini ‘menodai’ semua kepercayaan kanak-kanak tahun 80-an. Usahkan kereta terbang seperti lakaran dalam buku latihan sekolah, kestabilan politik pun rumit untuk dinikmati.
Seolah-olah kita melihat tayangan filem Keluarga 69 garapan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee pada tahun 1967. Idea dalam filem kekeluargaan bergenre komedi itu yang penulis sifatkan pelik/aneh/ganjil serta luar biasa.
Lebih gila apabila penulis melihat kerakusan politikus ke puncak kuasa. Penulis percaya menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 rakyat bakal disajikan dengan adegan pelik, malah bertambah gharib lagi.
Situasi pandemik yang dihadapi kini tidak mampu memadamkan hasrat golongan ini. Berlebih-lebihan hingga lupa berpijak di bumi nyata.
Jangan disebabkan gila di abun-abun, habis orang diajaknya bersilat.
Renung-renungkanlah kegelisahan rakyat dalam keadaan serba-serbi gawat ini. Jangan kerana kehendak kita seorang, ribuan yang lain ‘terkorban’.