PETALING JAYA – Tidak sampai 24 jam menutup ruangan komen, Hafidz Roshdi kembali dalam Instagram dengan memuat naik gambar dua tangan yang saling bergenggaman bersama kapsyen penuh makna.
Hantaran dibuat seolah-olah memberi bayangan konflik antaranya dan isteri, Nurul Shuhada Mat Shukri sudah kembali pulih selepas dibadai gelora dengan kehadiran orang ketiga.
“Alhamdulillah terima kasih yang mendoakan kebahagiaan kami sekeluarga,” tulisnya merujuk kepada episod pergolakan dalam perkahwinan mereka gara-gara kehadiran wanita bernama Athira Yuhada, 29.
Berlatarkan lagu Anita Sarawak berjudul Selamat Pengantin Baru, bintang Kan Ku Kejar Cinta Kami itu seolah-olah menggunakan dendangan tersebut sebagai simbolik permulaan baharu dalam perkahwinannya bersama isteri.
Malah lokasi di mana gambar tersebut dikongsi iaitu Arau, Perlis menunjukkan ketika ini pasangan yang mendirikan rumah tangga pada 2016 itu berada di kampung Shuhada.
Pada masa sama, aktor berusia 29 tahun itu turut berharap orang ramai mendoakan ikatan dibina mereka terus berkekalan hingga ke akhir hayat.
“Doakan hubungan kami kekal hingga ke syurga Firdausi, amin,” luahnya lagi.
Melihat maklum balas netizen menerusi ruangan komen, rata-ratanya memberikan reaksi berbeza, namun berharap Hafidz tidak mempersiakan kepercayaan isterinya.
Tidak kurang juga ada sesetengah yang meninggalkan komen berbaur sindiran selain mempersoalkan gerangan tangan siapa yang digenggamnya itu.
“Teruslah berpaut antara satu sama lain. Jangan biarkan syaitan terus memperdaya. Semoga Allah sentiasa melindungi kalian dari fitnah dunia,” tulis seorang pengguna.
“Jangan pengantin baharu dengan yang lain sudah bang,” kata netizen lain.
Pada masa sama, terdapat netizen menganggap konflik membabitkan ‘penyondol’ memberi kelebihan kepada kerjaya seni bekas peserta program realiti, Hero Remaja itu.
“Tak apa yang penting straregi awak menaikkan nama menjadi, sebab dapat publisiti. Tahniah. Saya sokong awak,” komen seorang netizen.
Kelmarin, Athira yang didakwa menjalin hubungan dengan Hafidz meminta maaf secara terbuka kepada Shuhada dan dua anaknya atas perbuatannya mencintai suami orang.
Hafidz yang menutup ruangan komen tidak memberikan maklum balas berhubung pendedahan isterinya serta hanya mengambil sikap ‘memekakkan telinga’ berdepan serangan netizen.
Sementara Shuhada pula sedia memberi kemaafan, namun membuat keputusan untuk menyelesaikan perkara tersebut dengan cara baik serta beradab apabila menyerahkan kes kepada peguam.
Terdahulu, perkahwinan pasangan berkenaan dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Humairah, 6, dan Umar, 3. – KOSMO! ONLINE