MELAKA – Seramai 12,907 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 negeri ini menduduki peperiksaan bertulis yang berjalan serentak di seluruh negara, hari ini.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali turut hadir meninjau suasana peperiksaan di Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Baru di Bukit Beruang, dekat sini.
Menurutnya, seramai 1,235 orang petugas telah dilantik bagi memastikan peperiksaan berjalan lancar sehingga 15 Mac depan.
“Seramai 11,037 calon adalah daripada sekolah kerajaan, bantuan kerajaan dan sekolah agama bantuan kerajaan.
“Calon Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) (694), calon sekolah agama negeri (23), sekolah swasta yang berdaftar (211) dan calon persendirian (942),” katanya.
Tambahnya, dua calon bagaimanapun terpaksa menduduki kertas peperiksaan di hospital susulan sedang mendapatkan rawatan kesihatan.