DAMSYIK – Serangan peluru berpandu yang dilancarkan tentera Israel tengah malam semalam meragut 15 nyawa selain sebuah bangunan turut musnah di kawasan kejiranan Damsyik yang menempatkan kebanyakan peralatan keselamatan Syria, kata sebuah pertubuhan pemantau perang seperti dilaporkan akhbar Arab News.
Badan Pemerhati Hak-Hak Asasi Manusia Syria berkata, serangan tersebut yang berlaku berhampiran pusat kebudayaan Iran telah membunuh 15 orang termasuk orang awam.
Agensi berita Syria, SANA yang memetik sumber tentera mengaku terdapat kemusnahan beberapa bangunan kediaman serta melaporkan antara yang terbunuh adalah seorang askar dan orang awam.
Letupan kuat kedengaran di ibu negara sekitar pukul 12.30 tengah malam (waktu tempatan) dan SANA melaporkan bahawa pertahanan udara Syria menghadapi sasaran musuh di langit sekitar Damsyik.
Sejak permulaan perang di Syria pada 2011, Israel telah melancarkan ratusan serangan udara terhadap jirannya, terutamanya menyasarkan kedudukan tentera Syria, Iran dan Hezbollah dari Lebanon iaitu sekutu rejim Syria.
Meskipun jarang berlaku di kawasan perumahan di ibu kota, serangan semalam berlaku di kawasan kejiranan Kafr Sousa, rumah pegawai-pegawai kanan, agensi keselamatan dan ibu pejabat perisikan. – AGENSI