fbpx

Hubungan baik China-Russia resahkan AS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ASKAR China berarak pada hari terakhir latihan tentera Vostok-2018 (East-2018) di Tsugol, Russia pada 13 September 2018. - AFP

WASHINGTON – Amerika Syarikat (AS) mula melihat trend membimbangkan berhubung sokongan China terhadap tentera Russia baru-baru ini dengan beberapa petunjuk membayangkan Beijing mahu bergerak ke hadapan dalam memberikan bantuan ketenteraan kepada Moscow.  

Seorang pegawai kanan AS yang mengetahui tentang hal ehwal perisikan memberitahu perkara itu kepada stesen penyiaran CNN namun, enggan menerangkan secara terperinci mengenai punca kepada perubahan dalam tindakan China tersebut.

Bagaimanapun, katanya, pegawai-pegawai AS berasa ‘cukup bimbang’ dan telah berkongsi maklumat perisikan itu dengan sekutu-sekutu dan rakan kongsi di Persidangan Keselamatan Munich, Jerman sejak beberapa hari lalu.

Setiausaha Negara AS, Antony Blinken sebelum itu membangkitkan isu tersebut apabila beliau bertemu dengan rakan sejawatnya dari China, Wang Yi kelmarin, kata pegawai berkenaan.

“Beliau (Blinken) agak berterus-terang dalam memberi amaran mengenai implikasi dan akibat daripada tindakan China (sekiranya) memberikan sokongan material kepada Russia atau membantu Moscow menggelak sekatan secara sistematik,” kata seorang pegawai kanan Jabatan Negara AS kepada pemberita.

Dalam pada itu, Naib Presiden AS, Kamala Harris semasa ucapannya di Munich turut merujuk kepada sokongan China terhadap Russia.

“Kami turut bimbang melihatkan Beijing mengeratkan hubungannya dengan Moscow sejak perang bermula.

“Melangkah ke hadapan, sebarang langkah China untuk memberikan sokongan kepada Russia hanya akan meningkatkan pencerobohan, meneruskan pembunuhan dan menjejaskan perintah berasaskan peraturan,” kata Harris.

Menurut beberapa pegawai Washington, AS melihat China secara terbuka cuba menonjolkan diri sebagai penyokong keamanan.

Namun, pada masa sama, Beijing secara senyap membantu perang Russia ke atas Ukraine dan mempertimbangkan untuk memberikan bantuan yang membawa maut seperti senjata.

Dalam pada itu, CNN turut bertanya kepada Presiden Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Leyen mengenai sama ada beliau percaya dengan ucapan Yi  bahawa China sedang mendengar mesej Eropah untuk tidak menyokong Russia.

“Kami telah melihat bahawa China dan Russia memeterai perkongsian tanpa had dan saya fikir kami memerlukan lebih banyak bukti serta lebih banyak tindakan untuk melihat bahawa Beijing tidak menyokong Moscow.

“Namun, setakat ini, apa yang dilihat adalah sebaliknya. Justeru, terdapat satu persoalan besar di sini,” ujarnya.

CNN dalam laporannya sebelum ini berkata, pentadbiran Presiden Joe Biden pada bulan lalu menyuarakan kebimbangan mengenai beberapa bukti yang mencadangkan bahawa syarikat-syarikat China telah menjual peralatan yang tidak berbahaya kepada Russia untuk digunakan dalam perang di Ukraine. 

Namun kini, terdapat beberapa petanda bahawa Beijing mungkin mempertimbangkan untuk membekalkan senjata berbahaya dengan pegawai-pegawai Biden mengeluarkan amaran bahawa AS memantau rapat sebarang pelanggaran ke atas sekatan Barat yang melarang bantuan ketenteraan diberikan kepada Russia. – Agensi 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI