fbpx

Gerakan Anti Sanusi kritik MB Kedah di TikTok tindakan pengecut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhammad Sanusi.

ALOR SETAR – Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menyifatkan sekumpulan individu dikenali sebagai Gerakan Anti Sanusi (GAS) yang mengkritik dirinya dan kepimpinan negeri menerusi TikTok adalah pengecut.

Katanya, tindakan kumpulan tersebut yang hanya bersuara di sebalik poster tanpa mendedahkan identiti sudah cukup membuktikan mereka itu bacul.

“Saya fikir ini cuma permainan politik sahaja dan saya tak peduli pun. Ini permainan politik, maka selesai di medan politik sajalah, kecuali kalau mereka melampau dengan fitnah, maka kita tengoklah (daripada sudut perundangan).

“Kalau kita nak bercakap dalam politik dan merasakan kita bangkitkan perkara yang benar, tampil dengan berani. Tetapi kalau gambar dan muka pun tak ada, itu semua pengecut dan orang bacul yang cuba melontarkan pandangan dalam politik tanpa ada keberanian,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyempurnakan perasmian Majlis Penyerahan Geran Hak Milik Tanah Bagi Daerah Kota Setar serta Pelancaran Kedah Cashless di sini hari ini.

Justeru katanya, orang sebegitu tidak seharusnya bermain politik kerana politik memerlukan individu yang berani tampil dengan hujah, idea dan pandangan sendiri.

“Kalau tak berani, tak payahlah main politik. Lebih baik main benda lain seperti congkak atau batu seremban,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI