fbpx

Fantasi remaja, pencarian jati diri selepas baligh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
LARAS lakonan Shenina Cinnamon (kanan) pelajar pintar yang sering menulis dalam blog tentang fantasi liarnya.

BUKAN paparan cerita remaja biasa, filem terbitan Netflix Indonesia berjudul Dear David tampil berani mengangkat kisah pelajar sekolah menengah yang melalui fasa akil baligh.

Karya arahan Lucky Kuswandi tersebut mengetengahkan pelbagai masalah anak muda zaman sekarang yang lebih gemar memendam rasa dan rahsia.

Dear David mendedahkan sisi lain seorang remaja bijak bernama Laras yang menjadi kebanggaan sekolah, namun suka menulis kisah-kisah fantasi liarnya dalam sebuah blog.

Muhammad Zaidy selaku produser berkata, idea menghasilkan naskhah tersebut bermula daripada hobi salah seorang penulis, Winnie Benjamin yang gemar menulis fanfiction.

Justeru katanya, idea berkenaan sangat relevan dengan situasi dialami remaja masa kini yang berada dalam fasa mencari jati diri.

“Ini filem kelima Polaris Film dalam mengangkat kisah remaja. Kami mencari apa yang baharu dan boleh diteroka dalam tema hidup remaja.

“Bertema pencarian jati diri, saya fikir idea ini sangat unik dan relevan dengan remaja sekarang. Karya ini juga sesuai dengan semua penonton yang pernah melalui fasa ini ketika zaman remaja mereka.

“Bagi saya ini satu pakej filem yang segar hadir di tengah kerancakan industri filem Indonesia,” ujarnya dalam sidang media pelancaran Dear David, baru-baru ini.

FILEM arahan Lucky Kuswandi ini turut menekankan masalah yang dilalui remaja zaman sekarang.

Filem tersebut berkisar cerita seorang pelajar sekolah menengah bernama Laras yang pintar dan menjadi harapan sekolah dan guru-gurunya.

Dalam pada sikap yang pendiam, Laras menyimpan perasaan terhadap David iaitu bintang bola sepak di sekolah mereka yang menjadi kegilaan pelajar perempuan.

Dibintangi Shenina Cinnamon sebagai Laras, Emir Mahira (David) dan Caitlin North Lewis (Dilla), filem yang diklasifikasi untuk tontonan 18 tahun ke atas tersebut sudah mula ditayangkan menerusi platform Netflix bermula 9 Februari lalu.

Tulis tiga cerita fantasi seminggu

Sementara itu, Shenina, 24, berkata, pengalaman membawa watak Laras tidaklah terlalu sukar buat dirinya kerana dia juga pernah melalui perkara yang sama ketika usia remaja.

“Mencari jati diri perlu proses yang panjang. Penulis skrip filem ini sama umur dengan saya jadi kami pernah melalui hal yang sama.

“Saya bersyukur kerana impian saya untuk bekerja dengan pengarah Lucky tercapai. Saya hadir ketika sesi uji bakat dengan harapan dapat berlakon di bawah arahan beliau walau apa juga watak yang diberikan,” ujarnya.

Berkongsi lebih lanjut, Shenina berkata, dia diminta menulis tiga cerita fantasi seminggu sebelum penggambaran bermula bagi menghayati watak Laras.

“Sebelum mula penggambaran, kami diminta hadir ke sesi suai kenal dan baca skrip. Saya diminta menulis tiga cerita fantasi seminggu dan ada satu hari pengarah minta saya tulis fantasi tentang Emir. Dia diminta membaca kisah itu di depan saya,” ujarnya.

TURUT dipaparkan dalam Dear David adalah cinta tiga segi antara David, Laras dan Dilla.

Dalam pada itu, Emir yang membawa watak David menyifatkan filem tersebut menjadi peluang kedua buatnya kembali berlakon selepas sembilan tahun menyepi kerana belajar di luar negara.

“Sudah lama saya meninggalkan dunia lakonan kerana sambung belajar, saya mencari banyak peluang dan uji bakat tetapi sukar untuk kembali sehingga ada rasa putus asa.

“Tawaran ini muncul ketika saya hampir berasa putus asa untuk kembali ke dunia seni. Saya sangat berterima kasih kepada pihak produksi yang memberi peluang ini,” ujarnya yang kini berusia 25 tahun.

Tambahnya, sebab utama dia menerima tawaran tersebut kerana pecaya dengan mesej yang ingin disampaikan dalam filem berkenaan.

“Saya percaya semua orang yang melalui fasa akil baligh menerima seksualiti mereka. Banyak negara yang masih tidak menerima dan membincangkan fasa ini secara terbuka.

“Itu sebabnya saya suka bagaimana filem ini membuatkan orang ramai berfikir dan menerima fasa itu sebagai sesuatu yang penting dalam perjalanan hidup kita,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI