MILAN – Pengendali Inter Milan, Simone Inzaghi mengaku cukup lega apabila keputusan untuk merombak kesebelasan utama tidak menjejaskan momentum pasukan untuk merekodkan kemenangan 3-1 ke atas Udinese pada aksi Serie A awal pagi semalam.
Pada aksi di San Siro itu, pasukan Nerazzurri meraih tiga mata berharga hasil jaringan yang dilakukan oleh Romelu Lukaku, Henrikh Mkhitaryan dan Lautaro Martinez, manakala gol saguhati pelawat dilakukan oleh Sandi Lovic.
Menurut Inzaghi, keputusan untuk merombak kesebelasan utama dibuat memandangkan pasukan perlu mengharungi aksi getir pusingan pertama saingan 16 terbaik Liga Juara-Juara menentang Porto awal pagi Khamis nanti.
“Ini adalah perlawanan yang sukar kerana kita tahu kualiti yang ada pada kelab Udinese kerana barisan pemain mereka memiliki teknik dan fizikal yang baik.
“Namun, kita berjaya mengekang asakan yang dilakukan pasukan lawan untuk meraih kemenangan.
“Mengulas mengenai beberapa pemain utama yang direhatkan, keputusan itu adalah jelas disebabkan kita mahu memberi tumpuan kepada perlawanan penting menentang Porto di laman sendiri nanti,” katanya.
Sementara itu, Inzaghi percaya penyerang utama pasukan, Lukaku sudah kembali menemui sentuhan sebenar dan boleh diharapkan untuk memastikan pasukan mencabar kejuaraan trofi utama musim ini.
“Prestasi Lukaku semakin meningkat saban hari dan ini bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana dia sudah bebas daripada belenggu kecederaan. Jika dia dapat teruskan momentum, pasukan boleh kembali berada di landasan yang terbaik,” katanya. – AGENSI