MELAKA – Mayat anggota Tentera Darat, Lans Koperal Edrin Baintim, 25, yang dikhuatiri lemas ketika melakukan latihan selam di perairan Pulau Undan, di sini ditemui di Tanjung Sepat, Banting, Selangor pagi tadi.
Perkara itu disahkan Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit ketika dihubungi pemberita di sini, hari ini.
“Makluman awal mayat telah dijumpai di pantai bakau di Tanjung Sepat Banting, Selangor, namun kita masih lagi menunggu laporan penuh.
“Setakat ini pihak polis positif ia merupakan komando yang dilaporkan lemas memandangkan baju selaman yang dipakai mangsa,” katanya ketika dihubungi media di sini, hari ini.
Tambahnya, mayat kini berada di Hospital Banting bagi proses bedah siasat.
Kosmo! pada 7 Februari lalu melaporkan seorang anggota Tentera Darat daripada Unit Skuadron Bot Kombatan Rejimen 22 Komando Kem Iskandar Mersing, Johor dikhuatiri lemas ketika sedang menjalani latihan Eksesais Pari Harimau kursus juruselam di kedudukan 0.7 batu nautika Barat Daya Pulau Undan.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.15 petang itu, turut bersama mangsa adalah enam pegawai dan 37 anggota lain-lain pangkat dari Pulpak Sungai Udang, Melaka.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilakukan selama tujuh hari melibatkan pelbagai agensi termasuk anggota Pasukan Selam Peperangan Khusus dari Kem Pusat Latihan Peperangan Khusus (Pulpak), Kem Sungai Udang, Melaka, Pasukan Selam Ranjau, KD Duyong dan juga Pasukan Penyelam Penyelamat Angkatan Pertahanan Awam (APM).
Pusat Penyelarasan Carilamat Maritim (MRCC) Putrajaya turut mendapatkan bantuan dari Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (Basarnas), Indonesia.
Operasi itu kemudian diteruskan pasukan komando Tentera Darat dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sehingga hari ke-10 pencarian yang berakhir pada Selasa lalu. – KOSMO! ONLINE