fbpx

Muhyiddin suspek dalam siasatan Jana Wibawa – SPRM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhyiddin.

PUTRAJAYA – Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin disahkan sebagai antara suspek yang disiasat berhubung kes dana Jana Wibawa dan bukannya sebagai saksi seperti yang didakwa beliau sebelum ini.

Menurut sumber, kehadiran Muhyiddin ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas dipanggil untuk memberikan keterangan baru-baru adalah sebagai suspek siasatan.

Jelasnya, selaku suspek, Muhyiddin juga tidak sepatutnya memberi ulasan berunsur spekulasi kerana perbuatan seperti itu boleh mengganggu siasatan yang dijalankan oleh suruhanjaya tersebut.

“Menurut Seksyen 30(1)(a), Akta SPRM 2009, seseorang pegawai Suruhanjaya yang menyiasat sesuatu kesalahan di bawah Akta ini boleh memerintahkan mana-mana orang supaya hadir di hadapannya bagi maksud diperiksa secara lisan berhubungan dengan apa-apa perkara yang mungkin dapat, pada pendapatnya, membantu dalam penyiasatan kesalahan itu.

“Mereka harus menunggu sehingga siasatan selesai sebelum memberi komen tentang siasatan oleh penguat kuasa,” katanya.

Dalam pada itu, sumber berkenaan turut mengesahkan SPRM sedang menjalankan siasatan terhadap beberapa individu lain termasuk bekas Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berhubung siasatan sama.

Tengku Zafrul menerusi laman media sosial bagaimanapun memaklumkan bahawa beliau tiada apa untuk disembunyikan dan akan sentiasa bersedia untuk memberi keterangan jika diminta berbuat demikian.

Terdahulu, Muhyiddin ketika ditemui pemberita semalam mendakwa bahawa SPRM telah mengesahkan bahawa beliau bukanlah suspek dalam siasatan yang dijalankan suruhanjaya tersebut ketika hadir untuk memberikan keterangan.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu yang mengesahkan telah memberi keterangan kepada SPRM beberapa hari lepas turut memaklumkan bahawa projek tersebut diusahakan Kementerian Kewangan (MOF) dan dicadangkan oleh Tengku Zafrul sendiri bagi membantu kontraktor yang terjejas teruk akibat Covid-19.

Jelas Muhyiddin juga, beliau tidak terlibat dalam proses mempertimbangkan atau meluluskan projek berkenaan memandangkan ia adalah di bawah MOF selain mendakwa tidak mengenali seorang pun kontraktor yang terlibat. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI