fbpx

Suami diganggu, Nadya Syahera tak melatah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NADYA SYAHERA

TINDAKAN nekadnya mengejutkan khalayak dengan pendedahan kemelut rumah tangga empat tahun lalu hanya membuatkan pelakon, Nadya Syahera Rosli dikecam.

Rata-rata berpendapat seorang isteri tidak wajar menyelak kisah ‘dalam kain’ untuk tatapan umum yang seumpama membuka pekung di dada.

Berpunca daripada masalah komunikasi, bintang Dia Semanis Honey itu mengakui kini semakin matang dalam mengatur langkah sama ada sebagai suri mahupun ibu kepada tiga cahaya mata.

Malah, tiada sesalan apabila tahun lalu dia berkongsi pula perihal suami, Fizul Nawi yang didakwa kurang memberi perhatian terhadap keluarga berikutan kesibukan menguruskan perniagaan.

NADYA Syahera yang pernah berdepan masalah tekanan kini lebih mengutamakan kesihatan mental dengan melakukan aktiviti sihat.

“Memang itu antara perkara yang membuatkan orang luar mempersoalkan tindakan saya, tetapi dari situ saya boleh nampak perubahan suami.

“Mungkin komunikasi masih kurang hingga membuatkan saya gunakan media sosial.

“Itu cara saya, cuma tak bermakna saya akan terus buat begitu untuk tarik perhatian suami,” katanya.

Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Aleena Rose, 7; Mohamad Dayyan, 6, dan Muhammad Barr Adam, 10 bulan.

Sibukkan diri

Aktres asal Kedah itu juga memaklumkan sudah imun dengan kesibukan mengendalikan cahaya mata yang masih kecil tanpa bantuan pengasuh.

Ditambah pula dengan komitmen kerja si suami yang selalu berulang alik antara Thailand dan Malaysia, sekali gus jarang berada di rumah.

Bagi mengelakkan emosi menjentik lara disebabkan keletihan serta kesunyian, Nadya mengambil pendekatan menyibukkan diri dengan aktiviti luar.

“Dahulu saya jenis pendam, sampai satu tahap meletup. Macam bom jangka, perkara yang saya simpan dan enggan cerita walau dengan keluarga terdekat terus saya dedahkan.

“Sekarang saya lebih terbuka, banyak minta nasihat keluarga, kawan rapat selain cuba ambil angin luar kalau serabut,” katanya yang bercuti hampir setahun bagi menjaga anak.

PERNAH berdepan masalah komunikasi dan kini diintai orang ketiga, Nadya enggan melatah dan menyerahkan urusan jodohnya mengikut ketentuan Tuhan.

Dedah duta Nano Cosmetics itu, walaupun belum sampai ke tahap kemurungan atau perlu mengambil ubat, dia percaya sesuatu perlu dilakukan supaya kesihatan mentalnya terjaga.

“Saya yakin setiap orang pernah melalui fasa terburuk dalam hidup, cuma antara cara atau penerimaan sendiri saja yang membezakan impak.

“Apabila tengok anak-anak, saya tanam tekad untuk bangun melawan mainan perasaan yang mencetuskan emosi tidak menentu ini.

“Saya kena kuat. Andai timbul masalah antara saya dan ayah mereka pun, sekurang-kurangnya saya terus mampu bertahan.

“Tiba masa saya letakkan kebahagiaan sendiri serta permata hati. Saya semakin selesa begini, tidak perlu beratkan kepala dengan hal lain,” tambahnya.

Diganggu penyondol

Pelakon yang sebelum ini bergelar pengacara itu juga mengakui hanya berserah kepada Allah supaya ikatan perkahwinannya terus diperkuatkan serta disirami kasih sayang.

Begitupun akuinya, dia enggan lagi ambil kisah andai muncul pihak ketiga yang cuba menggugat keharmonian mereka.

NADYA kini dilantik sebagai duta rangkaian produk penjagaan kulit Nano Cosmetics bagi tempoh setahun. – AFIQ RAZALI

“Pucuk pangkal adalah ketenangan diri sendiri. Kalau pengacau tiba-tiba datang, saya enggan peduli lagi, namun percaya jodoh, ajal dan maut adalah ketentuan Allah,” luah aktres kecil molek itu.

Terkini, Nadya mendedahkan ada wanita yang mencuba nasib mengganggu mahligai dibina saat melihat kesenangan hidup mereka.

Tidak melatah lagi, pelakon yang baru 10 bulan melahirkan anak ketiganya berasakan individu tersebut tidak menyedari susah payah hidupnya bersama suami sepanjang tempoh lapan tahun ini.

“Mungkin wanita ini nampak suami saya berduit dan memiliki segala-galanya, tetapi saya tak rasa dia sanggup bertahan kalau berada di tempat saya.

“Lupakan saja hajat rebut suami orang. Dunia ini ibarat roda, kalau kita buat orang, esok lusa jadi pada diri sendiri. Allah bayar tunai,” ulasnya tegas.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI